Bahana aplikasi cari pasangan atau ‘jodoh online’

- Advertisement -

LAMBAKAN laman cari jodoh di internet pada hari ini sedikit sebanyak mampu membantu golongan yang masih belum bertemu pasangan hidup masing-masing. Namun persoalannya, adakah media sosial merupakan platform yang terbaik untuk mencari jodoh? Atau mungkin ada kesan di sebaliknya?

Tidak dinafikan, ramai juga antara kita yang bertemu jodoh di laman sosial, malah ada yang berjaya sampai ke jinjang pelamin. 

Banyak aplikasi telah melancarkan serta menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk penggunanya menjalinkan hubungan kekasih dan tidak terkecuali yang menjadikan ianya sebagai jodoh online yang ‘berstatus halal’. 

Ianya direka dengan memanfaatkan status berjuta pengguna laman sosial yang belum berpunya dan semakin mendapat tempat juga dalam kalangan pengguna Muslim.

- Advertisement -

Lebih 200 juta netizen yang berstatus masih ‘single’ menjadikan platform media sosial sebagai kaedah mencari pasangan di seluruh dunia. 

Pembekal aplikasi ‘online dating’ pula berkeyakinan bahawa perkhidmatan ini dicipta bagi melahirkan hubungan kekasih untuk jangka masa panjang dan bukannya untuk berseronok.

Kalau ianya digunakan ke jalan yang betul dan selamat serta mempunyai adab serta sikap bertanggungjawab, rasanya mereka yang betul-betul bujang, bapa tunggal, ibu tunggal dan ikhlas, akan dapat bertemu jodoh suatu masa nanti.

Kerana setiap aplikasi membenarkan pengguna mencari pasangan ideal mereka dan menghantar mesej perkenalan. Di mana setiap aplikasi itu mempunyai kelebihannya yang dikatakan boleh menyaingi aplikasi ‘dating’ di antara satu sama lain seperti Tinder, Wechat, Bee Talk, Jaumo, Zoosk dan aplikasi ‘halal dating’ yang terkenal oleh pengguna di Malaysia seperti Muslima, MalaysianCupid, SweetRing, Badoo dan banyak lagi. 

Buka ‘peluang’ curang

Ada sesetengah aplikasi yang sangat tidak relevan bagi mereka yang sudah berpasangan atau berkahwin. Ianya hanya akan mengundang malapetaka kepada keharmonian rumahtangga yang terbina. Dalam erti kata lain, buka peluang untuk curang.

Sudah banyak aplikasi dicipta dalam mencari jodoh yang sama seperti ini. Malah, mereka mengetahui perkhidmatan aplikasi ini akan mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan. 

Ia akan disalahgunakan oleh kaum lelaki terutamanya yang sudah berkeluarga. Menurut kajian pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Agama, hanya sedikit peratusnya melibatkan golongan wanita menyalahgunakan aplikasi ini. 

Ini kerana ianya akan membuka lebih luas peluang berlakunya perkara-perkara berikut:

(1) Keretakan dalam keluarga.
(2) Porak peranda rumahtangga.
(3) Penipuan kewangan. 
(4) pemalsuan identiti.
(5) Pemerasan atau ugutan jenayah.
(6) Dendam.
(7) Tekanan emosi.
(8) Gangguan seksual.
(9) Kecurangan.
(10) Jenayah kekerasan.

Mencari keseronokan atau komitmen?

Tidak dinafikan, ramai di antaranya yang berakhir dengan kebahagiaan hingga ke jinjang pelamin. Tetapi, ada aplikasi yang agak keterlaluan atau merbahaya, di mana aplikasi ini mempunyai tema khusus iaitu ‘chat, flirt & dating’. Kesimpulannya secara terang hanya untuk berseronok dan tidak mahu sebarang komitmen. 

Ramai juga yang terpedaya apabila sanggup berkongsi gambar peribadi serta tidak bermoral apabila pasangan masing-masing memujuk untuk tujuan tatapan atau simpanan. Namun akhirnya perhubungan tersebut gagal. Gambar tersebut pula boleh tersebar untuk tujuan tertentu. 

Antara kebaikan boleh disenaraikan pada aplikasi ini pula adalah:

(1) Pelbagai rakan serta pilihan mengikut kesesuaian apabila kita menggunakan aplikasi temu janji dalam talian (online dating). Kita dapat menentukan jarak persahabatan atau perhubungan hingga ke luar negara. Mungkin dikatakan perhubungan lebih selamat atau percintaan jarak jauh. 

(2) Jimat masa, kos dan tenaga. Ianya boleh menjadi satu penyelesaian agar anda dapat terus menjalankan aktiviti dengan baik kerana penggunaannya tidak akan memakan banyak masa, usaha dan kos.

(3) Boleh menentukan kriteria anda sendiri. Beberapa aplikasi temu janji dalam talian mempunyai kelebihan dari menu tetapan yang memudahkan pengguna menentukan kriteria sesuai dengan keperluan mereka.

(4) Selamat apabila digunakan dengan betul dan bijak. Tentunya aplikasi tersebut akan memudahkan anda dan dapat membawa faedah. 

(5) Jika anda menggunakannya mengikut petunjuk yang ada dan tidak melanggarnya, mungkin anda boleh mendapatkan pasangan yang anda inginkan.

Namun, ianya menjadi satu keburukan sekiranya aplikasi ini digunakan secara:

(1) Berkomunikasi dalam talian tidak membolehkan anda melihat pelbagai komunikasi bukan lisan, sehingga keakraban akan menjadi kurang jika dibandingkan dengan bercakap secara bersemuka. 

(2) Komunikasi dalam talian juga boleh menyukarkan anda untuk mengetahui siapa dirinya sebenarnya. 

(3) Tidak semuanya dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan dan bagi mereka yang mencari pasangan hidup melalui temujanji dalam talian akan menghadapi sejumlah besar maklumat palsu, penipu, love scammer atau motif tersembunyi dalam proses perkenalan tersebut. 

(4) Hampir separuh pengguna hanya menggunakan aplikasi ini untuk bersenang-senang dan selebihnya lebih cenderung untuk kepuasan seksual.

(5) Kebanyakan pengguna tidak akan memberikan data sebenar diri mereka kerana mereka juga takut untuk menyiarkan dan berkongsi maklumat peribadi mereka secara meluas di laman sosial. 

(6) Malah ada juga memberikan data palsu kerana mereka ingin memberikan tanggapan yang tinggi terhadap pengguna lain contohnya kerjaya yang hebat, berpendapatan tinggi serta alamat kawasan kediaman.

Kesimpulan

(1) Kesedaran sangat penting di dalam memuat turun (download) aplikasi temu janji di dalam talian. Perlu peka kepada keperluan aplikasi tersebut. Buat kajian kebaikan dan keburukan sesuatu aplikasi tersebut.

(2) Sentiasa mencegah daripada menjadi mangsa. Dapatkan tips keselamatan online dating dari pihak SKMM, pihak polis dan NGO yang berkaitan seperti Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA).

(3) Jika terdapat perkara mencurigakan yang terjadi semasa temu janji dalam talian atau secara bersemuka, cuba elakkan dari meneruskan perbualan atau menuruti arahan atau ajakan pasangan maya anda. Mungkin mereka berniat untuk melakukan perkara yang buruk atau anda akan diugut untuk sesuatu yang berbentuk seksual. 

(4) Apabila anda telah terpedaya atau tertipu dan dijadikan mangsa oleh pasangan ‘online dating’, jangan sesekali berdiam diri atau berahsia. Sila berkongsi maklumat dengan rakan yang anda percayai sebelum ianya menjadi lebih parah. 

(5) Perlu buat laporan polis atau kepada SKMM apabila ianya melibatkan data peribadi, gambar peribadi yang boleh disebarkan untuk tujuan tertentu, ancaman nyawa, tekanan emosi yang mungkin boleh menyebabkan berlaku perkara yang buruk sama ada kepada anda sebagai mangsa atau keluarga anda. 

SAIFUL HAMIRUZZAMAN MOHD HAZIR
Exco
Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) – HARAKAHDAILY 3/8/2020

* KLCPPA merupakan NGO yang ditubuhkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat di dalam pencegahan jenayah dan pelencongan sosial melalui pendekatan pendidikan. KLCPPA juga berhasrat melahirkan masyarakat yang terarah kepada budaya menghormati undang-undang. Keterangan lanjut atau sebarang perkhidmatan, boleh mengikuti di FB: KLCPPA dan rakan strategik kami melalui FB: Kickstart-Academy.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -