Pelan induk transformasi Bandar Raya Kuching

- Advertisement -

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai pelan induk pembangunan lima tahun bagi mentransformasi kawasan bandar raya itu yang sudah usang, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

- Advertisement -

Beliau berkata pelan ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya metropolis dan pintar dengan mengenal pasti kawasan komersial yang perlu dibangunkan semula di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Pembangunan semula ini akan dilaksanakan oleh majlis berkuasa tempatan (MBKS dan DBKU) dan swasta dengan mengambil kira kriteria-kriteria kemudahan lebih moden dan sesuai untuk bandar raya pintar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-32 Bandaraya Kuching dan perasmian New Norms Park di pekarangan Bangunan MBKS di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kawasan terlibat ialah Padungan dalam kawasan MBKS, sebahagian kawasan Jalan Haji Taha dan Jalan P.Ramlee dalam kawasan DBKU dan antara kemudahan yang akan dibangunkan di kawasan termasuk pusat komersial dan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Autonomi (ART).

“Pembangunan semula ini tidak akan menjejaskan bangunan-bangunan bersejarah yang sedia ada, sebaliknya kesan sejarah dan unsur budaya masyarakat pelbagai kaum di Bandaraya Kuching dan negeri ini akan terus dipelihara,” katanya.
 
Terdahulu, dalam ucapannya, Abang Johari berkata banyak perubahan berlaku di Bandaraya Kuching dalam tempoh 32 tahun dengan pembangunan pesat dalam sektor perumahan, komersial, tempat rekreasi, kemudahan pengangkutan awam dan utiliti yang lain.

Katanya, semua kemudahan berkenaan penting untuk membolehkan rakyat berinteraksi dan seterusnya mewujudkan suasana perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi kebangsaan di Sarawak, serta mendapat pujian pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, Sarawak juga berjaya berada di hadapan khusus dalam pembangunan aplikasi digital tertentu dan menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain.

“Pembangunan sesebuah bandar raya juga tidak dapat mengelak daripada transformasi digital, terutama ke arah kita membina sebuah bandar raya pintar,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -