Majlis Korban PAS KBB hikmah buat asnaf

- Advertisement -

KULIM BANDAR BAHARU: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir tiga bulan yang lalu sememangnya memberikan kesan besar terhadap kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan fakir dan miskin.

- Advertisement -

Lantaran itu, kehadiran Aidiladha sememangnya membawa hikmah besar, terutama kepada golongan ini yang bukan sahaja dihayati dengan ibadah semasanya, tetapi juga limpahan ke atas kehidupan mereka.

Menerusi ibadah korban yang dilaksanakan PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu (KBB), perhatian sudah pastinya tertumpu kepada penduduk setempat dalam kalangan fakir dan miskin, selain warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

Sebanyak lima ekor lembu telah dikorbankan, di mana kerja-kerja sembelihan, melapah sebelum edaran kepada mereka yang berkenaan telah disempurnakan di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Markas PAS Kulim Bandar Baharu, di sini semalam.

Sungguhpun meriah dan dalam penghayatan ibadah, namun penganjurannya dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan pihak kerajaan untuk menjayakannya.

Pihak penganjur telah memastikan penjarakan fizikal, pemakaian topeng muka, imbasan suhu badan dan larangan terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun dipraktikkan sepanjang program dijalankan.

Terdahulu telah dilangsungkan solat sunat Aidiladha diimamkan Naib Yang DiPertua PAS Kulim Bandar Baharu, Ustaz Rohaizat Jaafar, manakala khutbah disampaikan Yang DiPertua PAS Kulim Bandar Baharu, Ustaz Hassan Abd Razak.

Hadir sama pada majlis tahunan ini adalah Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu, Dato’ Mohar Husin. – HARAKAHDAILY 1/8/2020

- Advertisement -