Ibadah korban Parlimen Kuala Krai 1441H

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH tahun ini Parlimen Kuala Krai menyumbangkan 50 ekor lembu untuk ibadah korban bagi tahun 1441H.

- Advertisement -

Setiap DUN mendapat 10 ekor untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin dan orang ramai. Baki 10 ekor lagi untuk Pondok Sungai Durian dan badan kebajikan dalam Kuala Krai.

Tempat penyembelihan DUN Mengkebang ialah di Pusat Tarbiah Islamiah Kuala Krai, Sungai Durian. DUN Guchil di Masjid Al-Jauhar dan Bukit Batu, Batu Balai dan di DUN Manek Urai di pekarangan rumah Penghulu Peria, manakala di DUN Dabong ialah di Balaisah Hijau Gua Ikan.

Hari ini saya sempat turun bersama YB ADUN Mengkebang, Tok Imam Mat Min manakala di DUN Guchil bersama YB Hilmi Abdullah.

Untuk DUN Manek Urai dan Dabong akan diadakan pada hari raya ketiga (Ahad).

Semoga sumbangan ini akan menyemarakkan lagi sambutan Aidil Adha untuk tahun ini dan kita semua mendapat keberkatan atas usaha ini.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada para penderma termasuk Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN).

Dari Aisyah R.A, Nabi S.A.W bersabda:

“Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih dicintai Allah S.W.T dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak pada hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan (pahala) korban itu.”
(HR Tirmidzi)

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
11 Zulhijjah 1441 / 01 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 1/8/2020

- Advertisement -