Cabar tulisan Jawi di mahkamah: DAP perlu rasional

DEWAN Ulamak PAS Pahang melahirkan rasa kesal di atas tindakan ADUN Tras, Chow Yu Hui dari DAP yang mencabar Kerajaan Negeri Pahang di Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung tindakan mewajibkan pemilik premis memasukkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan masing-masing.

Advertisement

Tindakan ini jelas menunjukkan sikap rasis dan kebencian berasaskan kaum oleh pemimpin DAP itu masih belum padam. Sebelum ini sudah banyak kenyataan dan tindakan pemimpin parti berkenaan yang mengguris hati umat Islam, khususnya ketika menguasai Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

Apakah yang menyebabkan mereka sangat benci kepada tulisan ini kalau bukan kerana rasis dan perkauman serta kebencian kaum. Ia hanyalah sebuah tulisan. Ia adalah tulisan bagi bahasa Melayu, seperti mana juga bahasa-bahasa lain yang ada di dunia ini mempunyai tulisan dan huruf.

Tulisan Jawi adalah tulisan bagi Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan Negara ini seperti yang dinaskan di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Adakah wajar kita mempertikaikan tulisan Arab untuk Bahasa Arab, tulisan Tamil untuk Bahasa Tamil dan tulisan Cina untuk ayat-ayat di dalam Bahasa Cina. Demikianlah halnya dengan tulisan Jawi yang merupakan tulisan asal bagi Bahasa Melayu.

Tindakan Adun DAP ini jelas bersikap biadap dan tidak menghormati institusi Diraja kerana tindakan Kerajaan Pahang dalam isu tulisan Jawi ini adalah dengan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibnu Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Dibimbangi tindakan saman berkaitan tulisan Jawi ini akan merebakkan perpecahan dalam kalangan rakyat, menimbulkan perbalahan kaum dan mewujudkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat.

Dengan sebab itu, Dewan Ulamak PAS Pahang menasihati pimpinan DAP agar lebih rasional dan beradab dalam negara yang sangat tinggi menjunjung tatasusila dan kesopanan sehingga ia dijadikan salah satu Prinsip Rukun Negara.

ADUN berkenaan juga digesa menarik balik tindakan mahkamahnya yang hanya akan menimbulkan kesan negatif kepada kesejahteraan negeri dan negara ini.

Sekian

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ketua Ulamak

USTAZ AHMAD NAFIRI MD TOAZI
Timbalan Ketua Ulamak

USTAZ KHAIRUL AZMI ISMAIL AL-HAFIZ
Naib Ketua Ulamak
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 1/8/2020