Kemelut politik: ‘Orang Sabah lebih tahu’ – Presiden

- Advertisement -

MARANG: PAS menyifatkan kemelut politik yang berlaku dalam Kerajaan WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, lebih diketahui oleh rakyat negeri itu.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Sabah sudah biasa bertukar kerajaannya yang silih berganti dan tidak pelik dengan situasi yang berlaku itu.

“Cuma, kita (PAS) harap diselesaikan ikut melalui Perlembagaan yang betul dan (saluran) politik yang betul.

“Dia tubuh kerajaan dahulu pun bukan majoriti parti WARISAN, parti minoriti juga dan kerajaan dia tidak kukuh, kalau jatuh pun kita (PAS) tak pelik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan sembelihan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha, di Kampung Rusila, Marang, hari ini.

Sebelum itu, Dato’ Seri Abdul Hadi mengimamkan solat sunat Aidiladha di Masjid Rusila, Marang bersama sekitar 1,200 ahli jemaahnya.

Ketika ditanya pihak media, cara terbaik menyelesaikan kemelut di Sabah itu, kata beliau, terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpin politik Sabah.

“Sabah sudah ada pengalaman dahulu, Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pun pernah buat di Sabah.

“Terserah kepada pemimpin politik Sabah dan orang Sabah lebih mengetahui,” jelasnya.

Menjawab persoalan kesepakatan mahu memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), kata beliau, hal itu dipersetujui bersama PAS dan Umno.

Dalam masa yang sama, katanya PAS-Umno akan terus dengan Perikatan Nasional dalam kerajaan sekarang ini.

“Kita sama-sama setuju untuk nak memperkasakan Muafakat Nasional ini, dalam masa yang sama kita terus dengan Perikatan Nasional dalam kerajaan.

“Setiausaha Agung PAS (Dato’ Takiyuddin Hassan) telah buat kenyataan, samalah dengan Setiausaha Agung (Umno). Kita (PAS) tiada masalah untuk bekerjasama dengan BERSATU.

“Itu, terpulang kepada parti masing-masinglah. Alhamdulillah, kita ada (Majlis Presiden PN) buat perbincangan dan kita (PAS) terus bersama Umno dan BERSATU,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2020

- Advertisement -