AKSEM temukan penempatan sementara di sempadan

- Advertisement -

KUALA PERLIS: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menemukan sebuah kawasan penempatan sementara yang dipercayai digunakan untuk mencari harta karun dan melakukan aktiviti tidak bermoral di kaki Bukit Putih, Kampung Wai, dekat sini.

- Advertisement -

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata terowong pertama adalah sepanjang kira-kira enam meter manakala terowong kedua tidak bersambung itu digali bagi mencari barang berharga seperti harta karun dan emas.

Beliau berkata kawasan itu dipercayai ditinggalkan hampir setahun lalu dan ia dikesan oleh anggota AKSEM ketika melakukan rondaan pada Mac lalu.

“Selain itu terdapat kesan penempatan sementara seperti telaga, besi paip,  tempat berkumpul, sebuah pondok kecil dan barang-barang seperti pinggan mangkuk  yang menunjukkan kehadiran wanita dalam jumlah yang ramai,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Surina berkata  beliau tidak menolak kemungkinan bahawa  terowong tersebut digali oleh mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan terowong berdasarkan hasil kerja yang tersusun, kemas dan teratur.

“Walaupun tiada tanda-tanda bahawa terowong ini digunakan untuk tujuan penyeludupan, pihak AKSEM akan terus melakukan pemantauan berikutan kedudukannya strategik iaitu berdekatan dengan sungai dan tidak jauh dari  sempadan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -