Perutusan Aidiladha Presiden PAS 1441H

- Advertisement -

SELURUH umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim A.S yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Umat Islam menyembelih binatang ternakan dan melakukan ibadat korban sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S. Mereka melaksanakan ibadat ini semata-mata kerana Allah S.W.T.

- Advertisement -

﴿لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٣٧﴾
“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.”
(Surah al-Hajj: 37)

Allah S.W.T memerintahkan kita umat Nabi Muhammad S.A.W mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim A.S untuk menjadi seorang Islam yang sebenar. Allah menegaskan Islam sahaja agama-Nya. Adapun agama dan ajaran yang lain termasuk yang diciptakan oleh akal manusia bukan daripada ajaran Islam.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan keluarga Baginda A.S. Pada masa yang sama, kita tidak melupakan pengorbanan barisan hadapan yang bertugas bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang melakukan ibadat korban kerana negara kita masih lagi terdapat ancaman wabak ini.

Jadikanlah hari raya ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T serta mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 30/7/2020

- Advertisement -