Perjuangan panjang rakyat Kelantan jadi kenyataan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejarah perjuangan menuntut royalti petroleum oleh rakyat Kelantan sangat panjang, berduri dan berliku.

Ia merupakan perjuangan seluruh rakyat Kelantan selama lebih 45 tahun bermula perjanjian royalti ditandatangani pada 9 Mei 1975.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed di Parlimen 28 Julai lepas mengesahkan Kelantan berhak dan layak menerima bayaran tunai sebanyak 5 peratus hasil pengeluaran petroleum.

Katanya NGO R menzahirkan kesyukuran dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas perkembangan yang amat positif tersebut.

“Setelah berlaku perubahan politik di peringkat Persekutuan kepada PN NGO R membuat keputusan tidak melakukan apa-apa tindakan atau tidak mengeluarkan kenyataan sementara waktu sebagai menghormati rundingan kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Peluang seharusnya diberikan kepada barisan kepimpinan negara dengan harapan turut diletakkan di atas beberapa menteri dan timbalan menteri yang mewakili Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Semalam Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mendedahkan perakuan kerajaan pusat terhadap hak royalti petroleum terhadap Kelantan.

Nazri juga berkata, R turut membekukan kesemua aktiviti setahun selepas pilihan raya umum 2018 bagi memberikan ruang kerajaan menjelaskan bayaran royalti kepada Kelantan sebagaimana manifesto pilihanraya PH.

“R Kelantan mengajak semua pihak mengenepikan sentimen politik kepartian bagi memperjuangkan hak rakyat termasuk dalam isu tuntutan royalti Kelantan.

“Semua pihak seharusnya bersama-sama mengekalkan landasan yang baik bagi memudahkan isu hak Kelantan diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2020

- Advertisement -