Kronologi politik Sabah (PRU14 – pembubaran DUN)

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin susulan permohonan dibuat oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

- Advertisement -

Berikut adalah kronologi perkembangan politik Negeri Bawah Bayu yang membawa kepada pembubaran DUN itu:
 
9 Mei 2018
— Barisan Nasional (BN) Sabah terikat jumlah kerusi dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan partinya daripada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang masing-masing memperoleh 29  kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.
 
— Dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Rakyat Sabah (STAR).
 
10 Mei 2018
— BN Sabah pimpinan Tan Sri Musa Aman mendapat sokongan dua ADUN STAR, sekaligus memperoleh majoriti mudah dengan 31 undi yang membolehkan BN membentuk kerajaan.
 
— Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) mengumum keluar daripada BN. Namun, ADUN UPKO seramai empat orang kekal menyokong Musa sebagai Ketua Menteri.
 
— Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
 
11 Mei 2018
— Enam ADUN BN keluar daripada BN dan menyertai WARISAN, sekali gus menyokong Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai Ketua Menteri.
 
— ADUN UPKO seramai empat orang menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.
 
12 Mei 2018
— Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah, 48 jam selepas Musa mengangkat sumpah untuk jawatan itu.
 
13 Mei 2018
— Istana Negeri menyampaikan surat memaklumkan Musa bahawa beliau bukan lagi Ketua Menteri Sabah menerusi setiausaha sulitnya.
 
16 Mei 2018
— Mohd Shafie mengumumkan kabinet negeri Sabah dengan dua ADUN dilantik iaitu Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, yang juga Presiden UPKO, dan bekas Ahli Parlimen Sandakan mendiang Datuk Stephen Wong, yang merupakan pengerusi DAP Sabah ketika itu.
 
17 Mei 2018
— Musa fail writ mohon mahkamah isytihar beliau sebagai Ketua Menteri yang sah.
 
11 Jun 2018
— Setiausaha Agung WARISAN Loretto Padua Jr dan Bendahari WARISAN Terence Siambun dilantik sebagai ADUN dilantik.
 
18 Sept 2018
— Ketua Cabang PKR Libaran Jaffari Waliam dilantik sebagai ADUN dilantik.
 
7 Nov 2018
— Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah mengikut perlembagaan dan oleh itu, merupakan Ketua Menteri yang sah.
 
— Peguam Musa berkata beliau akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu.
 
17 Jun 2019
— Bendahari DAP Sabah Ronnie Loh Ee Eng mengangkat sumpah sebagai ADUN dilantik, menggantikan mendiang Datuk Stephen Wong yang meninggal dunia pada 28 Mac 2019.
 
28 Nov 2019
— Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menolak dengan kos, rayuan Musa terhadap penolakan samannya dalam mencabar kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
 
15 Mei 2020
— ADUN blok Kerajaan Sabah diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Mohd Shafie untuk terus menerajui pentadbiran susulan khabar angin tular di media sosial mendakwa akan berlaku perubahan kerajaan negeri pada Julai tahun ini.
 
11 Jun 2020
— Mohd Shafie mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan Ahli Parlimen WARISAN dan sekutunya bagi membincangkan senario semasa politik tempatan dan pada masa sama menyatakan pendirian masing-masing untuk terus teguh bersama parti.
 
15 Jun 2020
—  Dua ADUN blok Kerajaan Sabah daripada UPKO iaitu Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menjadi ADUN bebas yang menyokong PN.
 
21 Julai 2020
— Perbincangan politik di Sabah mengenai usaha menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan WARISAN semakin hangat apabila Musa dikatakan memperolehi majoriti mudah, dengan beberapa ADUN blok kerajaan negeri didakwa meninggalkan parti.
 
23 Julai 2020
— Arena politik Sabah kembali tenang apabila ADUN blok kerajaan menafikan mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Musa.
 
29 Julai 2020
— Musa mendakwa telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu. 
 
30 Julai 2020
— Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari. – BERNAMA

- Advertisement -