Gugur kes: PM Thailand arah siasat

- Advertisement -

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini mengarahkan agar siasatan dijalankan mengenai kenapa kes langgar lari dan kemalangan maut pada 2012 membabitkan cucu jutawan syarikat pengeluar minuman tenaga Red Bull, digugurkan. 

- Advertisement -

Vorayuth Yoovidhya, cucu mendiang Chaleo Yoovidhya – pengasas bersama Red Bull – dituduh merempuh seorang pegawai polis ketika memandu Ferrari hitamnya pada 2012.

Bagaimanapun, minggu lalu, media melaporkan tuduhan ke atas Vorayuth – termasuk memandu laju, langgar lari dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kematian – digugurkan. 

Prayuth berkata panel khas akan menjalankan siasatan untuk mencari fakta mengenai keputusan pendakwa untuk menggugurkan tuduhan terhadap Vorayuth, yang juga dikenali dengan gelaran ‘Boss’.

Beliau mengulangi pendirian kerajaan yang tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman negara. 

“Keadilan harus wujud untuk semua orang,” katanya pada sidang media selepas  mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan Pejabat Peguam Negara pada Jun memutuskan untuk menggugurkan semua tuduhan terhadap Vorayuth, yang ketika kejadian berusia 28 tahun. 

Beliau dituduh membunuh anggota polis Wichian Klanprasert, 47, pada 3 September 2012. Pejabat Polis Diraja kemudiannya bersetuju dengan keputusan itu. – BERNAMA

- Advertisement -