YADIM sedia selaras gerakan NGO dakwah

Sumber Facebook Nasrudin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan menegaskan bahawa pejabat YADIM akan menjadi asas dermaga berlabuh untuk semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berorientasikan dakwah Islamiah untuk direncana dan digerakkan bersama.

Nasrudin berkata demikian menjawab kekeliruan yang timbul berikutan pejabat YADIM yang dikunjungi oleh NGO pro Pakatan Harapan (PH) dan NGO pro Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan persoalan orang ramai berkenaan fungsi pejabat YADIM.

- Advertisement -

Menurutnya, YADIM akan memainkan peranan melalui unit Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) untuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyatuan dan penyelarasan gerakan NGO dakwah Islamiyah.

“Negara kita antara bumi yang menyaksikan banyak NGO ditubuh dan didaftarkan. Antaranya ialah NGO Islam yang berorientasikan Amal Islami, dakwah dan kebajikan ummah.

“YADIM mengalu-alukan usaha murni tersebut, meskipun saiz organisasi kecil, capaian operasi terhad dan modus operandi mereka berbeda,” katanya pada satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, negara dan seluruh penghuninya memerlukan usaha dakwah yang banyak dan kesungguhan luar biasa untuk membimbing orang ramai agar keluar dari kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap Islam serta perlaksanaan syariatnya dalam kehidupan.

Namun, ujarnya, tentu sahaja tidak memadai sekadar banyaknya pertubuhan, tingginya kesungguhan dan aneka gaya pendekatan jika segalanya tidak dirancang serta diselaraskan secara strategik dan bijaksana.

Dalam pada itu, katanya, satu persidangan khas pemimpin-pemimpin NGO Islam yang berorientasikan dakwah Islamiah di Malaysia akan diadakan pada bulan September ini.

Kata beliau, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), turut prihatin serta bersedia untuk beramah mesra dan bersua muka dengan semua NGO-NGO Islam tersebut. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -