Rangka peraturan baharu tingkat parameter pencemaran

Sumber foto: Facebook Kementerian Alam Sekitar dan Air
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang merangka peraturan-peraturan baru berkaitan dengan parameter bahan cemar terhadap aktiviti yang tidak tertakluk kepada Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Timbalan Menterinya, Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata selama ini punca kuasa JAS terhad kepada aktiviti yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 meliputi aktiviti pertanian atau peladangan.

- Advertisement -

“Selaras dengan usaha memperkasakan penguatkuasaan Akta, maka pihak kementerian sedang merangka peraturan-peraturan baru berkaitan dengan parameter bahan cemar terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak tertakluk kepada EIA.

“Kementerian juga memperkuatkan agensi berkaitan penguatkuasaan bagi mengambil tindakan terhadap pencemaran alam sekitar disebabkan oleh kilang termasuk daripada aspek hasil sisa yang dialirkan ke sungai,” katanya di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Sri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang minta kementerian menyatakan usaha dalam meningkatkan pemantauan ke atas aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar dapat terpelihara dari pencemaran.

Mengulas lanjut Masrizal berkata Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan pemantauan secara berkala di peringkat pelaksanaan projek bagi aktiviti pertanian atau peladangan.

Menurutnya, dari segi statistik tindakan yang telah dibuat pihak kerajaan pada tahun 2018 sebanyak 19 penguatkuasaan telah dilaksanakan di projek pertanian yang telah mendapat kelulusan EIA,

“Sebanyak empat projek telah diberikan notis arahan dan satu projek dikenakan tindakan kompaun.

“Pada tahun 2019, sebanyak 31 penguatkuasaan telah dilaksanakan di projek pertanian yang telah mendapat kelulusan EIA, sebanyak lapan projek telah diberikan notis arahan dan dua projek dikenakan tindakan mahkamah.

“Manakala sehingga Jun 2020, sebanyak 14 penguatkuasaan telah dilaksanakan di mana sebanyak dua projek telah diberikan notis arahan dan satu projek dikenakan tindakan kompaun,” katanya.

Jelasnya, pihak KASA juga telah meningkatkan pemantauan aktiviti pertanian atau peladangan yang mempunyai kelulusan EIA melalui kaedah pemeriksaan di tapak bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek untuk pematuhan syarat EIA.

Selain itu, mewajibkan penyediaan orang yang berwibawa bertanggungjawab dalam pengurusan alam sekitar di tapak projek dan pelaporan pengawasan kualliti udara dan kualiti air secara berkala serta pelaksanaan audit pihak ketiga bagi melaksanakan audit alam sekitar di bawah Seksyen 33A.

Jelasnya lagi, pihak KASA juga memandang serius aktiviti pembakaran terbuka di kawasan ladang terutama melibatkan kawasan tanah gambut dengan melakukan pemantauan melalui rondaan dan penggunaan dron bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka.

“Bagi kes pembakaran terbuka, pada tahun 2019 sebanyak 178 kes pembakaran terbuka di ladang kelapa sawit telah dilaporkan di seluruh negara dan diambil tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Manakala bagi ladang getah sebanyak 26 kes telah diambil tindakan.

“Pada tahun 2020 sehingga 2 Julai, sebanyak 74 kes pembakaran terbuka di ladang sawit dan 19 kes pembakaran terbuka di ladang getah di seluruh negara telah diambil tindakan di bawah Akta yang sama,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -