Petronas sumbangan gas memasak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan tabung gas cecair petroleum (LPG), atau gas memasak kepada 180 keluarga kurang berkemampuan di lima jajahan di Kelantan bagi meringankan beban mereka yang terkesan disebabkan penularan wabak COVID-19.

- Advertisement -

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Che Ahmad Tarmizi A Rahman berkata penyampaian itu dilakukan secara berperingkat bermula 19 Julai lepas sehingga 19 Ogos nanti melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.

Beliau berkata pihaknya mendapati masih banyak keluarga yang terkesan akibat penularan COVID-19, dan berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk terus menjalani kehidupan seharian. 

“Selain ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami berharap usaha yang dilakukan ini selari dengan saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Melalui agenda ketiga SDG, PBB menggariskan aspek kesejahteraan dan kehidupan yang sihat untuk semua sebagai satu daripada agenda pembangunan lestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
 
Che Ahmad Tarmizi berkata, sumbangan berkenaan juga merupakan tambahan kepada program Sentuhan Kasih Perayaan Petronas pada Mei yang lepas.

“Melalui program itu, 400 buah keluarga golongan kurang berkemampuan di Kelantan telah menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas makanan seperti beras, susu, minyak, telur, makanan dalam tin, tepung gandum dan kad minyak,” katanya. 

Untuk rekod, Yayasan Petronas ialah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Petronas dengan matlamat utama menyumbang kepada pemerkasaan masyarakat melalui program CSR.

Di antara bidang tumpuan sumbangan, merangkumi aspek pembangunan pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Masyarakat dan Kelestarian Alam Sekitar. – BERNAMA

- Advertisement -