Moratorium bersasar manfaat 3 juta rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memperkenalkan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar bagi rakyat terkesan teruk pasca pandemik Covid-19 bakal memanfaatkan 3 juta rakyat Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini lebih berfokus khusus untuk mereka yang benar-benar memerlukan.

- Advertisement -

Antaranya adalah individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu serta mereka yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19.

Menurut Muhyiddin, mereka yang kehilangan pekerjaan akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan.

Selepas daripada tempoh itu, moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Manakala, bagi individu yang masih terjejas gajinya, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya dalam pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Presiden Bersatu itu, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu peminjam individu atau Peniaga Kecil Sederhana (PKS), baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

Katanya, bantuan tersebut bergantung kepada situasi peminjam-peminjam dan bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk kemudahan membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh, peminjam yang layak, disarankan menghubungi bank masing-masing bagi membuat permohonan mulai 7 Ogos depan.

Beliau dalam ucapannya berharap inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat Malaysia yang terjejas dengan masalah ekonomi selain berharap dapat menyokong
kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih dan melonjakkan semula ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -