Martabat Jawi: Harakah ‘kembalikan’ kandungan Jawi

KUALA LUMPUR: Seiring dengan seruan kerajaan untuk memartabatkan tulisan Jawi, Harakah menyahut seruan tersebut dengan menyediakan muka surat khas bertulisan Jawi di dalam akhbarnya.

Advertisement

Sebelum ini, akhbar politik tempatan itu telahpun menggunakan tulisan Jawi di beberapa muka surat siarannya, namun inisiatif itu terhenti sebelum ini atas hal-hal tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Kini, Harakah kembali menerbitkan tulisan Jawi dalam satu muka surat khusus dengan menampilkan kandungan dari buku Budaya Politik Matang Sejahtera tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, Ustaz Sabri Azit yang juga Ahli Parlimen Jerai akan turut menyumbang rencana tulisan Jawi pada setiap Jumaat di HarakahDaily sempena ‘Hari Jumaat, Hari Jawi’.

Harakah turut mempelawa pembaca yang berminat menyumbang berita atau rencana dalam tulisan Jawi untuk disiar sekiranya bersesuaian, di mana boleh dihantar melalui syahirah@harakah.net.my.

Awal Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan Hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’.

Menurut beliau, inisiatif tersebut adalah dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini.

Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi itu, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

Kata Dato’ Dr Zulkifli, penggunaan tulisan Jawi juga turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.

Beberapa tokoh politik, kementerian dan agensi turut menyahut inisitif tersebut dengan menyatakan hasrat penggunaan tulisan Jawi pada setiap Jumaat di media sosial dan tanda nama serta selainnya.

Tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi. – HARAKAHDAILY 29/7/2020