Manuskrip Melayu 383 tahun tarikan di PNM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah naskhah manuskrip Melayu lama berusia 383 tahun dengan judul ‘Kejadian Langit dan Bumi’ menjadi antara tarikan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

- Advertisement -

Ketua Pengarah PNM Maizan Ismail berkata naskhah itu termasuk lebih 5,000 manuskrip Melayu yang dipamerkan di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) yang terletak di aras 11, PNM.

“Pertamanya kita galakkan orang ramai datang dan melihat sendiri manuskrip asal, keduanya membuat penyelidikan dan ketiga membuat ilmu baharu daripada kandungan-kandungan manuskrip Melayu.

“PNM juga ada usaha untuk mengupas isi kandungan manuskrip Melayu ini dan kita keluarkan buku-buku yang mudah dibaca oleh orang ramai. Kita memudahkan (menterjemah daripada Jawi) dalam tulisan Rumi,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Maizan berkata manuskrip-manuskrip tersebut yang menceritakan tentang asal usul Melayu, selain ilmu-ilmu sains, politik, agama dan perubatan dikumpul dan diperoleh dari negara luar seperti Afrika Selatan, Indonesia dan United Kingdom (UK).

Antara usaha lain PNM bagi menarik perhatian pelawat ke PKMM ialah dengan mengadakan Wacana Manuskrip Melayu, iaitu acara yang diadakan empat kali setahun bagi mengupas beberapa tajuk khusus berdasarkan kandungan daripada manuskrip Melayu.

“Kita juga mengadakan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu yang merupakan acara dwitahunan dengan memanggil tokoh-tokoh antaranya dari Amerika Syarikat, Belanda dan UK yang akan membicarakan manuskrip Melayu selain membuat perbandingan dengan manuskrip mereka sendiri,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -