JKKK berperanan bawa perubahan masyarakat

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) turut berperanan membawa perubahan dari sudut dakwah Islamiyah kepada masyarakat menerusi institusi tersebut.

- Advertisement -

ADUN Beserah, Andasura Rabu berkata, JKKK adalah institusi dan telah lama wujud di kampung-kampung tradisi dalam masyarakat di mana mereka yang dilantik akan sentiasa menjadi perhatian ramai.

Oleh itu katanya, Ahli JKKK mesti menjaga peribadi sebagai model dan contoh kepada masyarakat di mana setiap gerak kerja, percakapan hatta penulisan akan dilihat, sekali gus membawa imej parti.

Perkara tersebut diucapkannya dalam pertemuan dan taklimat khas bersama Ahli JKKK lantikam PAS anjuran PAS Kawasan Indera Mahkota yang diadakan di PUTRA Balok, di sini malam kelmarin.

Beliau selaku juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang yakin bahawa Ahli JKKK lantikan parti adalah terdiri daripada mereka yang istiqamah, berfikrah jelas dan sentiasa komited dalam program dan perkembangan parti.

Tambahnya, dengan memahami isu-isu semasa, Ahli JKKK dapat membantu memberikan penjelasan tepat mengenai dasar dan pendekatan parti selain menerusi media sosial apabila berdepan masyarakat.

Beliau turut berharap JKKK yang dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang disamping memperkukuhkan Muafakat Nasional di peringkat akar umbi dengan dakwah, tarbiyah dan siyasah. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

- Advertisement -