Mohon kerajaan pacu pembangunan Bachok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangunan sektor pendidikan dan pelancongan di daerah Bachok, Kelantan perlu diberi perhatian yang teliti oleh pihak kerajaan bagi memastikan kemajuan rakyat di daerah itu dapat terus dipacu pada masa ini.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata beliau membangkitkan dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat semalam mengenai perkembangan projek pembinaan Kolej Komuniti Bachok.

- Advertisement -

“Penubuhan Kolej Komuniti Bachok ini telah pun dirasmikan pada awal 2018 oleh Menteri Pendidikan pada masa itu.

“Walau bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa ia didiamkan dan tidak diteruskan perlaksanaannya selepas PRU-14 yang lalu.

“Justeru, saya amat berharap agar kerajaan baru Perikatan Nasional dapat meneruskan usaha yang amat murni ini secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya pembangunan pelancongan di kawasan persisiran pantai antaranya dari Pantai Senok sehingga Pantai Aur, terus ke pelabuhan Tok Bali di Daerah Pasir Puteh sewajarnya dirancakkan sebagai suatu galakan kepada peningkatan pelancongan domestik.

Antara lokasi-lokasi menarik yang perlu dibangunkan dan dinaik taraf prasarana pelancongannya dengan sempurna adalah Pantai Nami (Pantai Senok), Pantai Irama dan Pantai Melawi.

“Saya berharap kerajaan dapat membantu puluhan para pengusaha chalet dan resort tempatan di sepanjang persisiran pantai Bachok untuk menarik taraf kemudahan pelancongan di lokasi masing-masing.

“Oleh itu, saya mengharapkan agar kedua-dua sektor pendidikan dan pelancongan di Parlimen Bachok ini tidak dikesampingkan oleh Kerajaan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -