Seludup satu tan ketum guna bas

ketum
- Advertisement -

PASIR MAS: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan mengesan taktik baharu penyeludup menggunakan bas persiaran bagi menyeludup satu tan daun ketum ke negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Komander (Operasi) AKSEM Kelantan Mohd Rosli Mat Nun berkata taktik licik itu berjaya dibongkar selepas pihaknya menahan sebuah bas persiaran serta dua suspek lelaki berusia 30 dan 40 tahun di Kampung Gaung di sini, pada pukul 2:30 petang tadi.

“Kedua-dua suspek merupakan pemandu dan kelindan bas itu. AKSEM mula mengekori bas berkenaan dari Jedok, Tanah Merah sebelum kenderaan tersebut diarahkan berhenti di Kampung Gaung di sini, untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 100 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang disimpan di dalam bas berkenaan termasuk di atas kerusi penumpang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan dari Kedah dan dipercayai membawa daun ketum untuk dihantar ke Rantau Panjang di sini, sebelum diseludup masuk ke Thailand.
 
“Soal siasat juga mendapati kedua-dua suspek mengaku menerima upah sebanyak RM5,000 untuk membawa daun ketum berkenaan.
Sudah empat kali bas berkenaan membawa muatan daun ketum ke Kelantan dan kita percaya bas berkenaan tiada penumpang dan datang ke sini semata-mata untuk menghantar bekalan daun ketum,” katanya.

Katanya ia merupakan taktik terbaharu penyeludup berbanding sebelum ini menggunakan kereta mewah dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA

- Advertisement -