Pegawai kerajaan perlu elak agenda peribadi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pegawai kerajaan dan ahli politik tanpa mengira posisi perlu mengelakkan mencari agenda peribadi.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kepercayaan dan amanah yang diberi perlu dijaga dengan baik.

- Advertisement -

“Ini kerana suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak,” katanya pada program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

Oleh itu beliau berharap penjawat awam dapat mendidik diri menjadi kakitangan yang berprinsip, teguh, bernilai moral, berintegriti dan bermaruah serta berkhidmat ikhlas kerana Allah SWT.

“Saya juga mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang memberi kerjasama sejak saya dilantik sebagai Menteri Besar.

“Sekarang usia Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah menjangkau hampir tiga bulan. Saya memerlukan sokongan semua pihak untuk melaksanakan dasar-dasar yang disusun,” ujarnya.

Menurutnya, pemimpin politik silih berganti namun jentera kerajaan kekal berada melaksanakan agenda pemerintahan negeri yang dinaungi Sultan Kedah.

Sempena pelancaran berkenaan Menteri Besar menyerah Jalur Gemilang kepada kontinjen terpilih dan semua Adun Kedah termasuk pembangkang. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -