Paragliding bakal jadi aktiviti di Semanggol

- Advertisement -

BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berhasrat menjadikan pendakian bukit dan luncur layar atau lebih dikenali sebagai paragliding sebagai aktiviti riadah eko-pelancongan di sini.

- Advertisement -

Hobi yang semakin diminati itu telah dijadikan antara perhatian dalam perbincangan Razman bersama Pegawai Daerah Kerian, Sabli Bakri di Pejabat Daerah dan Tanah Kerian, di sini semalam.

Menurut Razman, perbincangan tersebut berhasrat memperhalusi kaedah untuk menjadikan aktiviti riadah berkenaan khususnya di bukit Gunung Semanggol dapat dijalankan dengan kebenaran yang sah, teratur dan selamat.

“Selain itu, kita (juga) ingin melakukan penambahbaikan pengurusan dan juga perancangan untuk menjadikan bukit Gunung Semanggol sebagai sebuah pusat rekreasi ‘dakian dan terbang’ yang pertama secara rasmi di negeri Perak.

“Kita sedang berusaha ke arah menjadikan bukit Gunung Semanggol sebagai salah satu produk eko-pelancongan sekali gus menjadi nilai tambah kepada produk-produk sedia ada di daerah Kerian,” jelas Razman.

Dalam pada itu, wakil Silver Paragliding Club, Abdul Aziz Abdullah menjelaskan, bukit Gunung Semanggol merupakan lokasi yang paling strategik di negeri Perak ini untuk dilaksanakan aktiviti paragliding.

Mesyuarat yang berlangsung itu turut dihadiri Pegawai Majlis Daerah Kerian, Ghazali Mohd Hanif dan wakil Tourism Perak, Mohd Fauzan Baharudin serta Penghulu Mukim Gunung Semanggol, Abdul Razak Mohd Yunus dan wakil Pertubuhan Kerian Hiker, Azlan Che Lobe. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -