NGO Generasi jumpa MB Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pertemuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Generasi bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Isnin lalu di pejabatnya, Wisma Darul Aman bukan sahaja dapat berkongsi idea dua hala malah secara tidak langsung mengeratkan hubungan NGO berkenaan dengan pihak kerajaan negeri.

Antara lain yang dibincangkan termasuklah beberapa pendekatan pelaksanaan program pembangunan insan melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU) Felda di negeri berkenaan.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Strategi NGO terbabit, Muhammad Afiq Mohd Khazar, program OKU Felda merupakan satu segmen untuk membantu golongan berkenaan dalam pelbagai perkara termasuk kemahiran dan jati diri.

“Generasi komited untuk membantu golongan OKU khususnya yang berada di Felda agar mempunyai jati diri dan kemahiran tertentu untuk membantu mereka berdikari tanpa bergantung kepada orang lain.

“Untuk program sulung ini, kami mencadangkan ia diadakan di Felda Teloi Kanan dan Lubuk Merbau,” ujar beliau.

Katanya lagi, cadangan segmen OKU Felda Wilayah Utara ini bukan sahaja idea dari Generasi semata-mata tetapi ia juga mendapat kerjasama dari NGO-NGO OKU.

Justeru itu, beliau berharap program yang dirancangkan itu menjadi kenyataan dan berjaya dilaksanakan.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Nurul Amin Abd Hamid, Pengerusi Generasi Kedah dan beberapa orang ahli jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -