Malaysia jadi tuan rumah Liga AFC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super enam kali Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan besar, selepas diumumkan Malaysia menjadi tuan rumah kepada perlawanan-perlawanan Zon Timur Kumpulan G dan H, Liga Juara-juara AFC 2020, pada ketika penularan pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diberikan hak penganjuran untuk perlawanan Kumpulan G dan H, yang dijadualkan pada 17 Oktober hingga 1 November.

Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Pusingan 16 pasukan, yang akan menyaksikan perlawanan bagi pasukan daripada kedua-dua kumpulan itu pada 4 November, dua perlawanan suku akhir pada 25 November dan satu perlawanan separuh akhir tiga hari kemudian.

Kesemua perlawanan pusingan kalah mati, dimainkan sekali sahaja, selain perlawanan akhir yang akan dijadualkan dimainkan di wilayah Barat, walaupun dalam perancangan awal, AFC menggunakan format perlawanan timbal balas, sebelum dibatalkan akibat pandemik di seluruh dunia pada Mac.

Venue setempat untuk Kumpulan E dan F Liga Juara-juara AFC dan juga perlawanan peringkat kalah mati yang lain, masih belum ditetapkan. Sebelum ini AFC telah mengumumkan Qatar sebagai venue setempat untuk kumpulan dan peringkat kalah mati bagi wilayah Barat,” menurut AFC dalam satu kenyataan semalam.

Kumpulan G terdiri daripada kelab dari Jepun Vissel Kobe, JDT, Guangzhou Evergrande FC (China) dan Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan), manakala satu lagi pasukan Jepun Yokohama F.Marinos, Jeonbuk Hyundai Motors FC (Korea Selatan), Sydney FC (Australia) dan Shanghai SIPG FC (China), berada di dalam Kumpulan H. – BERNAMA

- Advertisement -