Makmal dadah terbongkar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cubaan tiga lelaki untuk menjadikan sebuah rumah di Taman Kempas, Sungai Petani sebagai makmal memproses dadah gagal selepas kesemua mereka yang berumur 31 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Sungai Petani pada 21 Julai lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata suspek pertama ditahan pada pukul 8:30 malam di hadapan rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan polis menjumpai bungkusan dadah jenis heroin seberat 453 gram pada lelaki berkenaan.

“Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan menemui dua ketulan mampat serta sembilan plastik heroin seberat 4,309 gram dan 22 plastik berisi syabu seberat 3,253 gram.

“Turut ditemukan tiga kotak kafein seberat 75 kilogram dan satu bungkusan plastik berisi kafein seberat 1,039 gram, empat botol cecair kloroform sebanyak 6.8 liter dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, hasil daripada tangkapan pertama itu, dua lagi suspek yang disyaki rakan suspek pertama berjaya ditahan di tepi Jalan Temusu, Taman Temusu pada hari yang sama.
 
“Kesemua dadah yang dirampas dianggar bernilai RM277,364 dan berdasarkan bahan-bahan yang dirampas kita percaya telah berjaya menyekat cubaan untuk membuka makmal dadah di negeri ini,” katanya.

Katanya lagi, polis turut menyita beberapa kenderaan selain wang tunai berjumlah RM7,300 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 Julai lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan, Zainuddin berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki di satu kawasan di Jalan Lencong Barat, di sini kira-kira 4.20 petang semalam selepas polis menjumpai sepeket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 455 gram pada suspek.

Katanya, siasatan lanjut terhadap lelaki berumur 42 tahun itu membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Seri Impian, di sini dan sepasang suami isteri berumur 40 dan 44 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan satu plastik teh cina berwarna kuning berisi ketulan mampat syabu anggaran berat 1,036 gram dan susulan serbuan itu dua lagi lelaki berumur 37 dan 42 tahun ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di Pokok Sena selepas pemeriksaan menjumpai tiga bungkusan plastik berisi ketulan mampat syabu seberat 3,106 gram pada mereka,” katanya.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas dianggar bernilai RM188,000 dan kelima-lima suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

- Advertisement -