Kelantan tubuh Institut Pembangunan Remaja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mewujudkan institut pembangunan remaja sebagai sebuah pusat kajian dan penyelidikan melibatkan golongan remaja.

Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-Bes), Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, institut tersebut juga akan menyediakan modul latihan dan aktiviti khusus untuk golongan muda.

- Advertisement -

“Setakat ini kita bersetuju menamakan institut itu sebagai Institut Pembangunan Remaja Kelantan.

“Ia dicetus daripada bengkel sehari dengan pembentangan kertas lengkap yang akan diketengahkan kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut,” ujarnya di sini, hari ini.

Bengkel tersebut turut disertai Senator Asmak Husin, Pegawai Tugas Khas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Suhail Mohamed Kamarudin, Pengarah Institut Latihan Perguruan Kelantan Dr Yaakob Yusof dan wakil-wakil beberapa agensi kerajaan.

Nasruddin juga berkata, Institut Pembangunan Remaja Kelantan akan melatih kepimpinan remaja yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

Menurutnya juga cadangan tersebut secara tidak langsung bagi merealisasikan tawaran PAS Kelantan yang termaktub dalam manifesto pilihan raya umum lepas. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -