Ini beza hijrah Rasul dengan pelarian!

- Advertisement -

MAKNA berlainan, objektif pun beza

Adalah amat tidak wajar apabila YB Mohamad Sabu (MP Kota Raja) yang lebih dikenali dengan Mat Sabu menyebut dalam ucapannya dalam Dewan Rakyat yang menyamakan hijrah Rasul dengan skop pelarian.

Jelas menunjukkan kedangkalan kefahaman beliau terhadap asas Sirah Rasulullah S.A.W apabila hijrah dijustifikasi sama makna dengan pelarian. Walhal kedua-dua berbeza sama sekali dan amat jauh makna antara keduanya.

Pelarian ialah orang yang melarikan diri ke negara lain kerana disebabkan oleh revolusi yang terjadi di negara mereka atau diserang musuh.

- Advertisement -

Menurut UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) pelarian ialah:

(1) Orang yang melarikan diri daripada perang.
(2) Tidak mampu melindungi diri sendiri.
(3) Dianiaya disebabkan oleh bangsa, agama, kerakyatan, keahlian mereka di dalam kumpulan sosial yang tertentu serta pegangan politik mereka.
(4) wajar mendapat perlindungan Antarabangsa.

Faktor kepada pelarian ialah berobjektifkan keselamatan nyawa yang menjadi keutamaan.

Manakala hijrah pula ialah pindah dari satu tempat ke tempat lain bagi mendapat atau merancang sesuatu yang lebih baik sama ada dari sudut dakwahnya, ekonomi dan politik. Seperti seseorang yang berpindah ke negara lain bagi tujuan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Faktor hijrah bukanlah soal keselamatan atau nyawa namun lebih kepada perancangan sesuatu yang diharapkan lebih baik. Berbeza dengan pelarian dan juga konteks pelarian lebih kepada keterpaksaan berbeza dengan hijrah.

Hijrah Rasul lebih khusus, peristiwa agung

Pelarian menunjukkan kelemahan dan aib atas penindasan dan penganiayaan yang dihadapi. Tanpa faktor yang menyebabkan berlaku kezaliman dan penindasan, tidak berlaku proses pelarian.

Berbeza dengan Hijrah Rasul yang kita tahu ia adalah:

(1) Perintah Allah.
(2) Strategi dakwah dan politik Islam, bukan melarikan diri.
(3) Mendapat jemputan dan disambut oleh kaum Ansar secara rela.

Malah Hijrah Rasul merupakan satu peristiwa besar lagi agung berdasarkan:

(1) Pembahagian surah-surah al-Quran kepada kategori Makkiyah dan Madaniyah.
(2) Penetapan taqwim tahunan Hijrah di zaman Sayiduna Umar al-Khattab dengan peristiwa hijrah.k

Menyamakan hijrah Rasul dengan pelarian adalah menjatuhkan martabat kemuliaan peristiwa agung dan Rasulullah S.A.W itu sendiri. Ia tidak beradab malah seakan menghina dan pastinya berdosa besar.

Ini jelas apabila peringatan Allah S.W.T akan kemuliaan Rasulullah S.A.W atas martabat Baginda S.A.W. Sekalipun Baginda S.A.W kalangan manusia namun darjatnya adalah lebih tinggi dan dimuliakan yang tidak boleh disama tarafkan dengan manusia yang lain.

Firman Allah S.W.T:

لَّا تَجۡعَلُوا۟ دُعَاۤءَ ٱلرَّسُولِ بَیۡنَكُمۡ كَدُعَاۤءِ بَعۡضِكُم بَعۡضࣰاۚ

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.”

[an-Nur: 63]

Jangan fahami Islam dengan sumber orientalis

Kecelaruan memahami Islam boleh terjadi apabila sumber yang diambil dari kalangan orientalis. Orientalis adalah gerakan terancang secara halus mengkaji Islam untuk merosakkan Islam dari dalam atas nama Islam. Sebab itu, kadang kala tidak pelik apabila terdapat ‘kejanggalan’ dalam fakta demi tujuan menghilangkan keizzahan Islam.

Orientalis Barat telah menuduh hijrah sebagai suatu pelarian, bermaksud Nabi Muhammad dan umat Islam takut kepada orang Quraisy, ibarat melukut di tepi gantang.

Menjadi tugas Orientalis Barat yang memusuhi Islam untuk mengacau, merosakkan dan mengaburi Islam sehinggakan:

(1) Menjayakan method kritik secara mutlak atas nama ilmiah kononnya.
(2) Merendahkan kemuliaan kedudukan Rasulullah S.A.W dan tokoh-tokoh Islam atas hujah kononnya ‘manusia biasa’.
(3) Menghilangkan autoriti ketertinggian sumber rujukan Islam iaitu al-Quran dan al-Hadis.

Sebab itu, tidak pelik apabila justifikasi hijrah pada orientalis Barat disamakan dengan pelarian kerana mereka:

(1) Tidak beriman dengan wahyu.
(2) Sengaja untuk merendahkan martabat kemuliaan Rasulullah S.A.W.

Akhirnya umat Islam hilang sensitiviti terhadap Islam malah ketiadaan nilai adab dalam penghayatan kehidupan Islam.

Minta maaf dan taubat

Benda jelas salah dan amat tidak wajar apa yang disebutkan oleh Mat Sabu. Maka jika benar ada nilai iman dalam diri, minta maaf pada umat Islam dan mesti bertaubat.

Berpolitik ada batasnya dan berpadalah. Benda yang melibatkan soal sensitiviti seperti kemuliaan Rasulullah S.A.W jangan dibuat mainan sehingga menghina.

Mana mereka yang berlatar belakangkan pengajian Islam dalam PAN? Jangan pula menjadi syaitan bisu dalam hal ini. Kedudukan dan posisi Presiden sebuah parti yang sebut ini, ia bukan hal remeh:

الرجوع إلى الحق خير من التمادى في الباطل

“Kembali kepada kebenaran terlebih baik dari berkekalan dalam kebatilan.”

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -