Duti eksport stabilkan harga minyak sawit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (CPO), minyak isirong sawit mentah (CPKO) dan minyak isirong sawit diproses (RBDPKO) sehingga penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK), Willie Mongin berkata langkah tersebut bertujuan menstabilkan harga komoditi sawit dan getah.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan tetap komited memastikan harga sawit negara terus utuh meskipun berdepan dengan cabaran harga sawit yang bergantung kepada senario harga pasaran di peringkat global.

Beliau menambah, kerajaan meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum melalui Program Biodisel B20 bagi membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah domestik.

“Pelaksanaan program ini dijangka akan membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik kepada 1.06 juta tan berbanding B10 iaitu sebanyak 534,000 tan setahun.

“Peningkatan penggunaan ini akan merancakkan lagi permintaan dan seterusnya memberi impak positif terhadap industri sawit negara,” jelasnya dalam pertanyaan jawapan lisan di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan meningkatkan kerjasama dengan para pengeluar utama getah iaitu Thailand dan Indonesia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC).

“Kerjasama ini dijalinkan untuk melaksana dan memantau pengurusan pengeluaran getah asli serta mengimbangkan penawaran dan permintaan getah di pasaran dunia melalui tiga mekanisme.

“Iaitu Agreed Export Tonnage Scheme (AETS), Supply Management Scheme (SMS) dan Demand Promotion Scheme (DPS),” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga meneroka pasaran baharu melalui aktiviti promosi dan pemadanan pasaran baharu dengan pengilang tempatan dengan pembeli dari luar negara.

Malah, kerajaan giat menjalankan pelbagai misi ekonomi dan teknikal bagi mengukuhkan hubungan dengan negara-negara pengimport utama pelbagai produk agrikomoditi Malaysia bagi mendapatkan akses pasaran yang lebih meluas di negara-negara tersebut.

Walau bagaimanapun, katanya tiada lagi perancangan dari pihak kerajaan untuk menetapkan harga lantai komoditi sawit dan getah buat masa ini.

Willie Mongin (BERSATU-Puncak Borneo) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Hasbullah Osman (BN-Gerik), Dato’ Salim Sharif (BN – Jempol) dan Dato’ Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkenaan usaha kementeriannya dalam meningkatkan harga dan pasaran eksport minyak sawit. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -