Besarnya peranan guru di zaman mencabar ini

guru
- Advertisement -

PASIR SALAK: Peranan guru di zaman ini lebih mencabar di mana bukan semata-mata menyampaikan ilmu, tetapi juga sebagai pembimbing, pendorong dan penasihat kepada anak murid.

- Advertisement -

Penolong Setiausaha Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak, Muhammad Azlan Ridzuan mengupas hal itu dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Majlis Guru PASTI (MGP) Ke-10 kelmarin.

“Ini kerana ilmu bukan sahaja disampaikan melalui lisan, tulisan dan perbuatan malah mestilah difahami dan dihayati agar ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardu ain dan fardu kifayah terus tertusuk ke dalam hati mereka,” ujarnya.

Beliau begitu menekankan asas didikan awal perlu ditanamkan meliputi akidah, ibadah dan akhlak agar peribadinya boleh dilenturkan dari usia kecil dan dapat membentuk peribadi mulia serta menjadi insan yang beriman.

Islam katanya, meletakkan guru di tempat sungguh mulia di sisi Allah di mana setiap perbuatannya dan masa yang diperuntukkan dikira sebagai pahala dan dihapuskan dosa iaitulah merupakan jihad paling tinggi dituntut dalam Islam.

“Islam telah meletakkan tingkatan martabat seorang guru iaitu sebagai mudarris, muallim, mursyid dan murabbi yang mana maksud yang sama tetapi berbeza peranan dan tanggungjawabnya sehingga boleh melahirkan generasi berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

“Melaksanakan tugas seorang guru bukanlah mudah, ini kerana beliau melihat masyarakat di zaman ini diundang dengan pelbagai gejala yang boleh mempengaruhi sikap dan tingkahlaku anak-anak murid.

“Justeru itu, persediaan mental dan fizikal amat penting dalam menghadapi apa jua situasi dalam mendidik,” serunya pada majlis yang diserikan dengan Sambutan Hari Guru bersama Muallimah di PASTI Al-Ikhwan, Langkap, di sini.

Malah beliau mengingatkan juga agar guru perlu menjaga sahsiah diri mengikut syariat Islam dari segi pakaian, tutur kata dan perbuatan agar ia menjadi cerminan dan ikutan (roll model) kepada anak murid.

Misi sebagai guru peringatnya, adalah menyempurnakan akhlak sebagaimana dilakukan Rasulullah di awal dakwahnya terhadap masyarakat ketika itu yang terpesong jauh dari landasan Islam.

Bahkan suntiknya, baginda tidak pernah jemu dan berputus asa malah terus berusaha sehingga Islam dapat ditanam dalam diri mereka. – HARAKAHDAILY 28/7/2020

- Advertisement -