PH terus lesu dan membosankan

- Advertisement -

BERITA terbaru, ADUN DAP Padungan, Sarawak, Wong King Wei telah mengisytiharkan keluar parti dan kini berstatus ADUN Bebas. Antara alasan yang diberikan kerana bosan dan mual dengan sikap dan pendirian parti serta kepimpinannya.

Sebelum itu di Johor, ADUN PAN Serom, pula mengisytiharkan melepaskan semua jawatannya dalam parti dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu di peringkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat.

Trend tidak puas hati dengan parti dan kepimpinan masing-masing bukanlah sesuatu yang baru tetapi semakin rancak kebelakangan ini khasnya melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH). Dan ia makin ketara sejak PH tidak lagi memegang kuasa di Putrajaya selain beberapa negeri lain termasuklah Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

- Advertisement -

Dan wakil-wakil rakyat PKR adalah antara yang paling ramai meninggalkan parti termasuklah di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kedah. Apakah yang boleh kita baca dari fenomena ini?

Ternyata PH sudah tidak stabil lagi. Sejak hilang kuasa di Putrajaya, wakil-wakil rakyat, pimpinan pertengahan dan ahli-ahli mereka mula putus asa dan sedar bahawa PH dan parti-parti yang mereka anggotai sudah tidak relevan lagi. Apa sahaja yang mereka tawarkan sudah tidak dapat diterima rakyat lagi.

Manakala dasar dan prinsip asal perjuangan pula sudah tidak menjadi agenda utama pimpinan dan parti sebaliknya tumpuan hanya diberikan pada perbalahan dan perebutan kuasa.

Tidak mustahil trend meninggalkan parti ini mungkin akan berlarutan malah mungkin juga semakin meningkat setelah PH hari ini dilihat lesu dan tidak mampu kembali sebagai kerajaan angkara syak-wasangka dan perbalahan tidak berkesudahan sesama sendiri manakala pihak Perikatan Nasional (PN) pula terus mencatatkan kecemerlangan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Masih adakah masa depan PH di persada politik negara?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -