Motivasi dari pemilik Resort Lembah Temir

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Gambar kenangan bersama Che Din Sulaiman hujung minggu baru-baru ini. Insan yang peramah dan humble ini ialah seorang jutawan dan pemilik Resort Lembah Temir, Raub, Pahang Darul Makmur. Yang berserban itu pula ialah Tuan Muhammad Faudzi Jalil Al-Ahmadi, Setiausaha Akhbar YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Ust Dr. Khairuddin at-Takiri, satu-satunya pegawai yang berserban di Kementerian dan di Parlimen!

Che Din adalah salah seorang pengusaha kluster durian Musang King di Raub dan merupakan pengusaha Bumiputera dengan keluasan tanah antara yang terbesar. Industri Musang King di Raub dikuasai oleh orang Tionghoa dan Che Din antara yang sedikit dalam kalangan orang Islam yang terlibat dalam perniagaan ini.

Beliau juga telah membangunkan resort sejak 2009 di sana yang sangat cantik dengan air terjun yang menghempas damai, sungai yang mengalir tenang, kehijauan alam yang menggamit dan keenakan durian Musang King yang terkenal itu! Beliau menyebut resort tersebut dibangunkan dengan sungai mengalir di bawah bangunan sebagai motivasi dari al-Quran yang menyebut di Syurga nanti terdapat sungai-sungai yang mengalir!

- Advertisement -

Terima kasih Tuan atas motivasi! Saya mendapat banyak inspirasi dari kisah dan usaha Tuan! Kita semua tidak mengira latar belakang tentunya berkehendakkan kehidupan yang selesa dan baik. Kita juga mengimpikan kebahagiaan, kebaikan di dunia dan akhirat!

Bahkan dalam agama bukan satu kesalahan menjadi orang kaya asalkan sahaja sumbernya daripada hasil yang halal, dalam batas kemampuan dan bersederhana. Malah sering kita diberitahu bahawa sesungguhnya tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).

Atas segalanya, marilah kita semua menginfaqkan diri dan mempergunakan harta kita semaksimanya untuk perjuangan Islam. Bagaimana seluruh apa yang kita ada dilaburkan untuk saham akhirat kerana Allah.

Firman Allah Taala di dalam surah at-Taubah, ayat 41:

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Seterusnya, perkara inti yang ingin saya bicarakan dalam hantaran ini ialah ada yang lebih penting daripada harta benda. Ada yang lebih utama daripada kekayaan!

Allah S.W.T berfirman di dalam surat at-Thalaq, ayat 2-3:

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Dari ‘Amru Bin ‘Auf Al-Ansari, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda kepada orang-orang Ansar pada suatu hari:

“Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.”

(Muttafaq ‘Alaihi)

Maka dari Firman Allah S.W.T dan sabda Rasulullah S.A.W ini jelas kepada kita betapa tanggungjawab untuk bertakwa dan bertawakal merupakan agenda lebih penting dan utama yang perlu kita sama-sama usahakan. Dengan ketakwaan, insya-Allah, Allah dengan sifat ar-Rahman dan ar-RahimNya akan mempermudahkan segala urusan kita termasuklah urusan pencarian nafkah dan rezeki.

Malah perkara pertama yang sewajarnya menjadi perhatian serius kita dalam usaha mencari rezeki ialah keberkatan! Ketahuilah betapa kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan daripada Allah S.W.T.

Sesungguhnya rezeki itu daripada sisi Allah dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa batasan. Begitu juga Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki.

Kekayaan dan kemiskinan sepanjang sejarah manusia adalah dua ekstrem yang sentiasa ada. Sepanjang zaman pasti akan ada orang yang miskin dan orang yang kaya! Pasti ada yang hidup mewah dan ada yang hidup melarat! Pasti ada yang duduk megah di atas takhta singgahsana kesenangan dan pasti ada juga yang duduk menderita di kaki lima kesusahan!

Buktinya, lihat saja kepada Sirah S.A.W. Orang-orang kaya dan orang-orang miskin wujud pada zaman Rasulullah S.A.W.

Terdapat ramai dalam kalangan para Sahabat yang kaya-raya yakni hartawan yang kalau dalam analogi hari ini bolehlah diibaratkan sebagai jutawan, businessmen dan ahli korporat yang sangat berjaya. Antaranya termasuklah Sayyidina Uthman bin Affan R.A, Sayyidina Abdul Rahman bin ‘Auf R.A, Abu Talhah R.A dan lain-lain.

Akan tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga mereka yang memilih hidup miskin seperti Rasulullah S.A.W sendiri, anak dan menantu Baginda Siti Fatimah dan Sayyidina Ali bin Abu Thalib K.W, serta ahlus-suffah yang sememangnya hidup dalam kemiskinan seperti Sayyidina Abu Hurairah R.A, Sayyidina Abu Dzar Al-Ghifari R.A, Sayyidina Bilal ibn Rabah R.A, Sayyidina Salman Al-Farisi R.A, Ka’ab ibn Malik al-Ansari, Asma’ ibn Harithah ibn Sa’id al-Aslami, Hanzalah ibn Abu ‘Amir al-Ansari, Harithah ibn al-Nu’man al-Ansari al-Najjari, Hudhayfah ibn Usayd Abu Surayhah al-Ansari, Hudhayfah ibn Yaman dan Sahabat-sahabat yang lainnya.

Namun seperkara yang amat jelas nyata, sama ada mereka kaya ataupun miskin, kesemua mereka ini merupakan susuk peribadi unggul yang merupakan tulang belakang kepada lahirnya satu generasi terbaik yang dikatakan tidak ada generasi sebelum dan tidak akan ada generasi selepas mereka yang lebih baik daripada generasi tersebut!

Semuanya kerana mereka ini adalah insan-insan yang tinggi ketakwaannya kepada Allah S.W.T. Bahkan Allah meredhai mereka dan mereka pun redha kepadaNya! Segalanya kerana keimanan utuh yang tertanjap kukuh di dalam diri dan jiwa-jiwa mereka!

Justeru itu, sebagai mukmin dan insan yang memahami akan hakikat bahawa segala rezeki yang diperolehi adalah bersumber daripada Allah Azza Wajalla, maka kita hendaklah sentiasa berusaha dengan semaksima dan seoptimum mungkin untuk ikhtiar kehidupan duniawi.

Akan tetapi jangan sampai kita lupa untuk sentiasa memohon dan beramal hanya kepada Allah S.W.T sebagai bekalan berharga menuju negeri akhirat yang kekal abadi. Bersamalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta senantiasa bertakwa dengan sebenar-benar takwa!

Sedarilah betapa inilah tujuan penciptaan kita.. Allah S.W.T berfirman di dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaKu.”

Hanya kepada Allah S.W.T jualah kita berserah diri dan memohon rahmatNya, insya-Allah. Jom sama-sama berazam menjadi jutawan zuhud! Jom jadi orang kaya bertakwa!

“Terus Mara”
“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

Lebai Engineer;
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -