Moratorium: Bank rugi RM1.06 bilion sebulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium selama enam bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerugian itu juga bersamaan pengurangan kapasiti bank untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion kepada peminjam.

- Advertisement -

“Anggaran kerugian bank berikutan pelaksanaan moratorium berterusan, sistem perbankan dianggar mengalami kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.

“Bagi tempoh enam bulan moratorium diberikan secara keseluruhan jumlah kerugian mencecah RM6.4 bilion bersamaan pengurangan kapasiti bank untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion kepada peminjam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng dalam soalan tambahannya mempersoalkan implikasi kos yang ditanggung sektor perbankan sekiranya moratorium dilanjutkan enam bulan lagi.

Dalam masa yang sama, Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan RM2.1 bilion di bawah geran khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang kini telah memberi manfaat kepada 545,000 peniaga mikro Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sebenarnya peruntukan ini untuk 700,000 peniaga mikro PKS. Oleh itu, memang kita boleh kaji semula yang penting memberi pertolongan sebanyak mungkin kepada mikro PKS.- HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -