Melayu mampu kembali bangkit setelah jatuh

BATU: Bangsa Melayu mesti bangkit setelah menerima kekalahan dan berani bersaing dalam perjuangan, selagi mana menjadikan dakwah Islamiyah tunjang menggerakkan ummah.

Advertisement

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya menegaskan intipati itu dalam ucapan aluan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Kali Ke-35 di Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini semalam.

“Belajarlah dari Kerajaan Melaka yang pernah gemilang dan hidup dalam kemewahan serta kesenangan sehingga sampai pada satu tahap tiada lagi gerak kerja dakwah dilakukan.

“Kemudian Kerajaan Melaka jatuh, namun kejatuhan itu menjadi satu rahmat apabila membawa kepada kebangkitan Acheh Darul Islam yang jauh lebih luas dan hebat dakwahnya. Pemerintahan dan rakyatnya teguh bersaing dengan Portugis yang juga giat menyebarkan ajaran Kristian pada ketika itu.

“Pengaruh Islam di Acheh itu juga secara tidak langsung telah menghidupkan kembali usaha dakwah di Melaka sehingga lahir lebih ramai ulamak dan wali berbangsa Melayu di Pusat Islam Melaka, Pulau Besar,” ujarnya membangkit semangat dan motivasi para ahli PAS Batu.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu itu telah menyaksikan kehadiran ‘full-house’_ dalam kalangan para perwakilan Cawangan dan Dewan-dewan.

Ustaz Azhar turut menggesa para ahli PAS Batu untuk sentiasa bersiapsiaga memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Dalam setiap gerak kerja, kita harus yakin bahawasanya ada campur tangan dari Allah S.W.T. Kita boleh lihat sekarang, walaupun PAS tidak menang di Batu, namun kita telah menjadi sebahagian dari kerajaan pemerintah pada hari ini.

“Oleh itu, gunakan peluang dan ruang yang ada ini untuk menjaga kebajikan rakyat semaksimumnya,” ulasnya yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. – *HARAKAHDAILY 27/7/2020