Loji mini atasi masalah air di Tanah Merah

Dr Izani (tengah) mendengar taklimat dari Wan Zamri (kiri) sempena lawatan kerja sambil diperhatikan oleh Abdul Fattah (kanan)
- Advertisement -

TANAH MERAH: Masalah tekanan rendah yang dihadapi penduduk di sini akan diatasi dengan pembinaan loji rawatan mini tahun hadapan.

Loji mini itu akan dibina Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di lokasi tapak sumber air bersih di Penchong Jalan Tasek di bandar Tanah Merah.

- Advertisement -

Ketua Jabatan Pengeluaran Dan Fasiliti AKSB Wan Zamri Wan Hamat berkata, kerja-kerja penyelenggaraan tapak sudah dilakukan.

“Alhamdulillah kita mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menyediakan sebuah LRA mini di sini dengan berkapasiti 4 juta liter sehari (JLH).

“Dengan adanya LRA mini InsyaAllah kawasan yang mengalami tekanan rendah terutamanya di penghujung jalan Tanah Merah-Pasir Mas akan menerima agihan air dengan lebih sempurna,” katanya di sini.

Beliau ditemui media selepas taklimat sempena lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Ketua Jajahan Tanah Merah Mohd Anis Hussin dan Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah Fiesal Abdullah. – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -