Kenaikan pangkat pensyarah UA berasas merit

Gambar hiasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat pensyarah Universiti Awam (UA) tidak tertakluk kepada sistem berasaskan masa ( time-based system), kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, kenaikan pangkat jawatan tersebut adalah berdasarkan merit dan tahap kecemerlangan akademik serta kesarjanaan dalam bidang masing-masing dan tidak tertakluk kepada sistem berasaskan masa.

- Advertisement -

Beliau berkata, terdapat empat kayu ukur utama dalam menentukan kenaikan pangkat ahli akademik UA yang berjawatan Gred DS45 sehingga Gred DS52.

“Terdapat empat tanggungjawab utama dan menjadi pemberat dalam kenaikan pangkat ahli akademik iaitu pengajaran, penyelidikan, perundingan konsultansi, dan pentadbiran.

“Berdasarkan kaedah ini, kenaikan pangkat pensyarah dapat dilaksanakan tanpa menunggu kekosongan jawatan dan perakuannya tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa melantik.

“Justeru, para ahli akademik boleh menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu terikat dengan tempoh masa tertentu,” jelasnya menjawab secara bertulis soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, berdasarkan kajian yang telah dijalankan dalam kalangan kakitangan akademik Gred DS45 sehingga DS52, didapati 35 peratus mendapat kenaikan pangkat kurang daripada enam tahun berkhidmat.

Manakala, dalam tempoh enam sehingga sepuluh tahun sebanyak 49 peratus ahli akademik yang mendapat kenaikan pangkat.

Keseluruhannya, 84 peratus daripada kakitangan akademik telah berjaya mendapat kenaikan pangkat kurang daripada sepuluh tahun berkhidmat.

Noraini menambah, kaedah kenaikan pangkat pensyarah pada masa sekarang telah membawa kepada peningkatan kualiti ahli akademik sekali gus mencerminkan kewibawaan UA.

Malahan, pensyarah UA akan kekal dinamik dan berdaya saing untuk melahirkan graduan yang kompeten seiring dengan keperluan agenda pembangunan negara.

Noraini (Umno-Parit Sulong) menjawab soalan Abdul Latiff sama ada sistem berasaskan masa akan dilaksanakan di semua IPTA bagi kenaikan gred 45 hingga 54 supaya penjawatan pensyarah universiti berdaya saing atau sekurang-kurangnya setaraf penjawatan guru. – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -