Kedah setuju pindahkan penduduk Bukit Malut

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah telah menerima dan bersetuju, dengan cadangan agar penduduk yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi, dipindahkan ke kawasan lain, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pihak yang mengemukakan cadangan itu, dan telah meminta pihak berkenaan membawa perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan mereka (penduduk Bukit Malut), ke kawasan lain di Langkawi dan ia sekarang bergantung kepada MKN untuk membuat keputusan.

“Tetapi saya yakin, MKN akan bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk terbaharu Menara Alor Setar, ‘Star View’ di sini semalam.

Beliau diminta mengulas laporan berita mengenai penempatan haram Bukit Malut yang semakin berkembang, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Malaysia semalam.

Muhammad Sanusi berkata, cadangan memindahkan penduduk tersebut ke lokasi lain juga bagi memulangkan semula tanah yang didiami mereka ketika ini kepada pemilik asal.

“Tanah yang mereka diami itu adalah milik orang lain antaranya milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Tuan tanah memang ada tapi mereka (penduduk penempatan haram) ini telah duduk berleluasa,” katanya.

Dalam laporan akhbar itu juga, dilaporkan banyak rumah telah dibina di Bukit Malut termasuk di kawasan lereng bukit tanpa kebenaran pihak berkuasa. – BERNAMA

- Advertisement -