Boleh balik kampung, tetapi patuhi SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dibenarkan untuk pulang ke kampung, merentas daerah dan negeri bersempena menyambut perayaan Hari Raya Aidil Adha, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, walaupun kerajaan tidak membataskan pergerakan di dalam negara, namun rakyat Malaysia haruslah menepati atau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan media berhubung penularan maklumat sekatan polis di lokasi-lokasi tertentu dalam Sidang Media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di lobi Parlimen, hari ini.

“Sebenarnya tidak ada sekatan perjalanan, sebab itu saya kata masih boleh balik kampung, cuma patuhi SOP. Walaupun dibenarkan balik kampung, tetapi kita kena pastikan diri kita terjaga dengan mematuhi setiap SOP yang disenaraikan.

“Walaupun kita benarkan sembelih lembu, tetapi SOP kena ada, penjarakan sosial sewaktu ibadah korban perlu dilaksanakan, cuci tangan guna sanitizer dan sebagainya perlu dilakukan.

“Pemakaian pelitup muka perlu kita amalkan, walaupun ada kebenaran, tetapi kita jaga kesihatan dan keselamatan kita,” ujarnya.

Kes positif Covid-19 di Malaysia mula mencatatkan peningkatan semula dan perkara tersebut telah membawa kebimbangan pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia yang turut khuatir sekiranya kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -