Belia ditawar sertai Agropreneur Muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah membuat pelbagai usaha dan perancangan bagi menarik minat belia dalam sektor pertanian dan industri pembuatan makanan antaranya menubuhkan Unit Agropreneur Muda.

Berkata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi Unit Agropreneur Muda itu ditubuhkan pada tahun 2014 bagi menyelaras hala tuju dan agenda pembangunan belia di dalam sektor agromakanan negara.

- Advertisement -

“Seterusnya pada tahun 2016, Program Agropreneur Muda telah diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan sasaran 5,000 orang agropreneur muda berusaha 18 hingga 40 tahun menjelang tahun 2020.

“Program Agropreneur Muda menawarkan tiga perkhidmatan iaitu bantuan geran sehingga RM20,000, pinjaman sehingga RM200,000 dan bimbingan teknikal kepada semua belia,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari [PAS-Pasir Mas] yang meminta menteri menyatakan perancangan kementerian bagi tujuan menarik minat belia dalam sektor pertanian dan industri pembuatan makanan.

Katanya, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk melaksanakan program Mobiliti Tenaga Kerja Dalam Sektor Agromakanan @ MyFutureAgro bagi tahun 2020 sehingga 2021 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Manakala katanya, kementerian itu turut melaksanakan program latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) di bawah pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional kepada golongan belia berumur di antara 18 sehingga 25 tahun.

“Program ini menawarkan pembelajaran di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

“Selain itu, program High Impact Product (HIP) dan program Change Upgrade Product (CUP) merupakan bantuan peruntukan yang disalurkan dalam bentuk Geran Pemadaman atau matching grant,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat itu, kementerian kini giat mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Katanya, ia bertujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik merentas kementerian demi menarik lebih ramai belia menyertai sektor pertanian.- HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -