Projek perintis estet ikan tasik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan Estet Ikan di Tasik Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah di sini hari ini yang bakal menjadi perintis untuk projek Estet Ikan di Kelantan. 

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata projek julung kali yang dilancarkan di negeri ini melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) amat penting bagi memastikan kelestarian peningkatan pengeluaran pertanian terutamanya ikan.

“Projek perintis ini adalah usaha bagi membanyakkan sumber ikan dalam negeri dan negara sekaligus bagi menampung keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir melancarkan Projek Estet Ikan Tasik Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Kelantan Nazri Ishak, ADUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood dan Imam Masjid Ar-Rahman Hasan Mahmood. 

Terdahulu, pada program yang sama beliau melepaskan 20,000 ekor benih ikan tilapia air payau dan 10,000 ekor benih ikan siakap ke dalam estet ikan berkenaan yang berkeluasan 3.5 hektar. 

Che Abdullah berkata dalam tempoh ternakan selama lapan hingga 12 bulan, ia dijangka dapat menghasilkan 24 tan metrik ikan dengan nilai sekitar RM336,000. 
 
Katanya projek estet ikan yang akan diselia oleh seramai 20 anggota komuniti dan ahli jawatankuasa masjid itu juga akan dijadikan sebagai produk agro-pelancongan dan memberi sumber pendapatan secara langsung kepada tabung Masjid Ar-Rahman.

“Setiap pengunjung yang mengunjungi masjid Ar-Rahman akan dibekalkan dengan makanan ikan rumusan (pellet) dengan harga RM2 sebungkus untuk memberi makan pada ikan yang terdapat dalam estet ikan ini. 

InsyaAllah, kejayaan pelaksanaan Estet Ikan Masjid Ar-Rahman ini akan menjadi perintis kepada penubuhan banyak lagi estet ikan di negeri ini, malah DOF juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan lain yang berpotensi untuk dimajukan sebagai estet ikan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -