PAS raikan kejayaan PDRM banteras jenayah

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan (kanan) menerima cenderahati penghargaan daripada Ustaz Hazri Jusoh. (Foto ALFIAN MAMAD)
- Advertisement -

KEMAMAN: Kejayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menumpas sindiket dadah syabu dan pil kuda bernilai RM176,900 di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, mendapat penghargaan dari PAS.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid merakamkan, ucapan tahniah khususnya kepada anggota PDRM kerana dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang.

- Advertisement -

Kata beliau, menyedari risiko dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak polis dalam membanteras jenayah dadah dan sebagainya.

“Saya ucap tahniah khususnya kepada pasukan Polis Kemaman kerana telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan, walaupun terpaksa menghadapi dengan risiko dan pelbagai cabaran.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama yang mantap ini semoga ianya akan terus berjaya pada masa yang akan datang, insya Allah.

“Saya yakin dan percaya, Allah SWT akan berikan kelapangan, kesenangan dan kekuatan kepada anda (polis) semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Keraian Bersama Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan di Resort World, Kijal, di sini, pada 23 Julai lalu.

Manakala, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh turut mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada pihak Polis Kemaman.

“Kami ucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada pihak Polis Kemaman di atas usaha dan tugas, serta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam membanteras jenayah di daerah Kemaman ini terutama di DUN Kijal.

“Setelah sekian lama sindiket dadah, aktiviti judi ekor dan sabung ayam ini bergerak aktif di Kijal. Alhamdulillah, akhirnya mereka tumpas,” ujarnya.

Sementara itu, Superintendan Hanyan Ramlan terharu, apabila kejayaan pihak polis membanteras jenayah dihargai oleh pemimpin masyarakat setempat.

Katanya, tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan kepada anggota polis tidak akan terhenti malah diteruskan mengikut bidang tugas.

“Kami (polis) akan lakukan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin dan ianya tidak akan terhenti di sini, kami berpegang pada prinsip perlembagaan negara, kedaulatan undang undang, amar makruh nahi mungkar.

“Kami amat terharu, berbangga dan bersyukur di atas sokongan dan penghargaan yang diberikan oleh pemimpin masyarakat ini.

“Jika kita (polis) letih kerana kebaikan, maka sesunguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan akan kekal.

“Namun, jika kita bersenang-senang dengan dosa, maka sesunguhnya kesenangan itu akan hilang dan dosa itu akan kekal,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Abd. Rahman, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Kemaman dan pegawai Pejabat Penyelaras DUN Kijal.

Berikutan kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menumpaskan sindiket dadah, pihak polis turut menyita pelbagai jenis kenderaan mewah.

Antara yang dirampas, wang tunai sebanyak RM321,000 dipercayai hasil jualan dadah, 14 kenderaan terdiri daripada lapan kereta mewah, empat motosikal berkuasa tinggi, sebuah lori dan sebuah pacuan empat roda yang dianggar bernilai lebih RM1 juta. – HARAKAHDAILY 26/7/2020

- Advertisement -