Mahasiswa kena jaga nama baik keluarga, PAS

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Semua anak-anak ahli PAS yang akan melanjutkan pelajaran ke menara gading diharap mengukuhkan iman, menetapkan visi serta menjaga nama baik keluarga dan jemaah PAS.

- Advertisement -

Mereka juga diingatkan agar tidak terjebak dengan anasir-anasir jahat dan terlupa akan matlamat sebenar mereka melangkah ke alam pendidikan tinggi.

Para mahasiswa yang terdiri daripada anak-anak ahli PAS memikul amanah besar bukan sahaja terhadap ibu bapa masing-masing tetapi juga kepada jemaah PAS didukung bersama.

Begitulah saranan yang dititipkan oleh Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad di dalam ucapan perasmian Majlis Apresiasi Anak-Anak PAS Ke Menara Ganding 2020 kelmarin.

“Saya juga berharap agar anda berusaha bersungguh-sungguh dalam perjuangan di medan ilmu ini dan mencapai kejayaan gemilang.

“PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri sangat mengharapkan tenaga-tenaga muda yang profesional dan berkemahiran tinggi di dalam memperkukuhkan organisasi kerajaan dan parti.

“Saya mengharapkan pada suatu hari nanti, anda pula berada di atas pentas ini menggantikan kami dan memimpin negara, negeri dan PAS di tahap yang lebih cemerlang di masa hadapan,” tambahnya.

Program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Bukit Gantang telah berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Yunus, Pusat Tarbiah PAS Bukit Gantang, dekat sini.

Ia dihadiri kira-kira 43 bakal mahasiswa dari kalangan anak-anak ahli PAS seluruh Parlimen Bukit Gantang di mana mereka menerima sumbangan wang tunai yang sebahagian besarnya adalah sumbangan peribadi Ustaz Idris.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Zulkefly Ahmed serta Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kawasan, Norzuhrah Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 26/7/2020

- Advertisement -