Lim kena hadir lagi ke SPRM hari ini

Setelah 7 jam diambil keterangan dalam siasat semalam

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Selepas lebih 7 jam memberi keterangan berkaitan siasatan mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dipanggil semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini. 

- Advertisement -

Sumber SPRM memberitahu Lim dipanggil memberi keterangan pada 11 pagi dan esok merupakan kali ketiga beliau memberi keterangan kepada agensi itu berkaitan projek tersebut. 

Ahli Parlimen Bagan itu meninggalkan ibu pejabat SPRM hari ini bersama peguamnya, RSN Rayer pada 7:50 malam. 

Kedua-duanya bagaimanapun mengunci mulut dan terus memasuki kenderaan yang menunggu apabila wartawan mengajukan pelbagai soalan. 

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 12:40 tengah hari, lewat hampir 3 jam dari waktu janji temu yang ditetapkan iaitu 10 pagi.
 
Lim dikatakan memaklumkan kelewatan itu kepada pegawai penyiasat SPRM yang bertugas selain memuat naik gambar tayar kereta beliau pancit di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan dipercayai dari utara ke Kuala Lumpur di laman Facebook beliau pada 9:30 pagi. 

Hari ini merupakan kali kedua beliau hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan projek terowong dasar laut itu.
Kali pertama beliau hadir memberi keterangan kepada SPRM ialah pada Rabu lepas. 

Lim dikatakan sepatutnya menyambung keterangan pada Khamis namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat. Pada Jumaat pula beliau dilaporkan mempunyai urusan lain.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes itu kini berada dalam fasa akhir dan tidak ramai saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyempurnakan siasatan berkaitan projek tersebut.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco serta bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berkaitan projek mega itu. – BERNAMA 

- Advertisement -