Lajnah Pendidikan rai pelajar cemerlang

- Advertisement -

TELUK INTAN: Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Teluk Intan telah meraikan pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM tahun 2019 yang  merupakan anak-ahli PAS di sebuah Restoran di Taman Melor, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik dan Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hamisah Abas serta pimpinan PAS Kawasan telah memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang berserta ibu bapa mereka yang diraikan.

Menurut Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Teluk Intan, Mahyudin Mohd Yusuf, penganjuran majlis ini berikutan ramainya anak-anak pimpinan PAS Teluk Intan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka.

“Pelajar yang dirai malam ini adalah terdiri dari anak-anak pimpinan PAS Teluk Intan, jadi selain merai kejayaan para pelajar ini, kita juga menghargai usaha ibu bapa mereka yang masih sempat membantu kecemerlangan anak-anak mereka walaupun sibuk dengan gerak kerja PAS kawasan,” pujinya.

Ustaz Ismail dalam ucapannya banyak menyebut hadis Nabi yang meggariskan kelebihan penuntut ilmu dan mengamalkannya.

“Besarlah harapan PAS Kawasan, bila tamat pengajian nanti, kamu semua dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari untuk manfaat seluruh ummat khususnya perjuangan menegakkan agama Allah.

“Dengan ilmu dan kepakaran yang dimiliki, maka kalianlah orang-orang yang diharapkan bakal menerajui kepimpinan PAS Teluk Intan ini suatu hari nanti,” katanya penuh harapan.

Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hamisah Abas dalam ucapan perasmiannya berpesan kepada bakal mahasiswa-mahasiswi ini agar menggabung diri dalam Jemaah Kampus agar hubungan mereka dengan PAS tidak terputus.

“Ini sangat penting, agar kalian tidak sekadar menjadi ulat buku semata-mata, tetapi peka dan ambil tahu terhadap suasana politik semasa.

“Lapangan politik negara ini jangan dibiarkan berada dalam genggaman musuh-musuh Islam, maka kalian semualah yang bertanggung jawab memikul amanah kepimpinan jemaah di masa depan kelak,” serunya.

Beliau berpesan agar mereka belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adab menuntut ilmu serta menjalin hubungan yang baik dengan para guru dan pensyarah bagi memastikan keberkatan ilmu diperolehi.

Hamisah selaku juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan turut menyampaikan sumbangan wang kepada pelajar cemerlang hasil sumbangan ahli PAS yang sentiasa bersedia dan bermurah hati menghulurkan derma bagi menjayakan gerak kerja pakai. – HARAKAHDAILY 26/7/2020

- Advertisement -