AMAL turun kampung bakal dipergiat

- Advertisement -

LUMUT: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Perak berhasrat menjadikan program AMAL Turun Kampung sebagai program bulanan di negeri ini.

- Advertisement -

Menurut Pengarah AMAL Perak, Abdul Karim Abdul Rasid, program ini adalah lanjutan daripada Perkhemahan Tahunan AMAL yang diadakan di Pulau Pinang Oktober tahun lepas.

Memandangkan penyertaan ramai anggota AMAL Lumut di Pulau Pinang tempoh hari, maka Lumut dipilih sebagai lokasi pertama bagi program ini di Perak.

Kata Abdul Karim lagi, program ini bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat tempatan dengan AMAL yang turut dikenali sebagai ‘semut merah’ dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

Program yang disertai sekitar 80 anggota AMAL diisi dengan aktiviti membersihkan tanah perkuburan, memotong rumput di bahu jalan dan penyerahan bantuan kepada penduduk sekitar.

Majlis penyerahan bantuan turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Setiawan, Zarina Ishak dan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Poait.

Turut sama Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman pada majlis di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Panjang Laut itu. – HARAKAHDAILY 26/7/2020

- Advertisement -