Tayar pancit, Lim tiba lewat di SPRM

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini lewat hampir tiga jam daripada waktu janji temu yang ditetapkan SPRM iaitu pada 10 pagi.

- Advertisement -

 Ahli Parlimen Bagan itu memasuki bangunan  SPRM pada 12:40  tengah hari, ditemani peguamnya RSN Rayer. 

Terdahulu pada 9:30 pagi, Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memuat naik gambar menunjukkan tayar kereta beliau pancit di Lebuhraya Utara-Selatan, dalam perjalanan dipercayai dari utara ke Kuala Lumpur, dalam akaun laman sosial Facebook beliau. 

Beliau juga dilihat tiba di SPRM menaiki kereta yang  berbeza dengan kereta yang mengalami masalah tayar pancit yang dimuat naik dalam hantaran beliau pagi tadi. 

Pada 10:20 pagi, pegawai SPRM memberitahu wakil media yang menunggu bahawa Lim telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat yang bertugas bahawa beliau akan tiba lewat kerana berada di Simpang Pulai, dekat Ipoh pada waktu itu.
 
Ini merupakan kali kedua Lim hadir di SPRM bagi memberi keterangan berkaitan siasatan terhadap projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Kali pertama beliau hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM ialah pada Rabu lepas.  Beliau tiba di perkarangan bangunan itu pada 1 tengah hari dan dilihat keluar pada 7 malam tanpa memberi sebarang kenyataan kepada wakil media yang menanti. 

Lim dikatakan sepatutnya menyambung keterangan pada Khamis  namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat.  Pada Jumaat pula dia dilaporkan mempunyai urusan lain. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka dapat diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Laporan sebelum ini turut menyebut siasatan kes berkenaan kini berada pada fasa akhir dan tidak ramai saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyiapkan siasatan kes berkenaan.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek terowong itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan serta beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega itu. – BERNAMA

- Advertisement -