Penyeludup di sempadan semakin agresif

- Advertisement -

BUKIT KAYU HITAM: Sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand kini semakin berani dan bertindak agresif sehingga mencederakan anggota keselamatan apabila mereka merasa tergugat, kata Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Briged Utara Supt Rosman Kasman.

- Advertisement -

“Ada kes pos PGA ditembak dengan pistol angin dan yang terbaharu adalah kereta sindiket ketum melanggar konvoi pengiring Menteri Pelancongan (Seni dan Budaya dalam kejadian di Perlis),” katanya ketika ditemui semasa liputan eksklusif Op Benteng di sini. 

Malahan mereka turut menggunakan modus operandi baharu menggunakan motosikal yang disenyapkan bunyi deruman enjin dengan memasukkan sebatang kayu berukuran kira-kira 10 sentimeter ke dalam ekzos yang bertindak sebagai penyenyap.

“Mereka masukkan kayu macam ‘silencer’ (penyenyap) dan bunyi motosikal tidak akan didengari oleh orang biasa. Pihak PGA pernah menahan beberapa buah motosikal yang diubah suai ini dan sebuah motosikal boleh membawa tiga guni daun ketum yang anggaran beratnya 30 kilogram, katanya.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem), Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia secara bersepadu untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.
 
Sementara itu, dalam tinjauan Bernama di pagar sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 117 kilometer yang boleh dikategorikan sebagai uzur, terutamanya di Kedah dan Perlis, mendapati sebahagian pagar dirosakkan dan dijadikan laluan tikus bagi membawa masuk barang terlarang serta pendatang tanpa izin ke negara ini oleh sindiket berkenaan.

Rosman berkata sindiket penyeludupan itu terutama dari negara jiran akan memotong pagar serta meletakkan kayu bagi membuat laluan keluar dan masuk ke negara ini dan akan memulakan kegiatan pada tengah malam sehingga awal pagi, mengambil faktor keadaan sekitar kawasan tersebut yang gelap dan tidak dilalui orang awam.

“Ada juga pagar yang telah dipotong tetapi diletakkan balik seperti keadaan asal bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya, sambil menambah anggota PGA dapat mengesan taktik itu kerana setiap anggota sentiasa teliti dalam melakukan rondaan jalan kaki di laluan sempadan.

Rosman berkata sindiket dari negara jiran itu akan menghubungi orang tempatan sebelum mereka melakukan kegiatan penyeludupan.

“Memang banyak mata-mata yang akan lihat anggota berkawal. Laluan tikus ini sentiasa berubah. Pihak PGA juga ada mengambil inisiatif membaiki pagar kawat duri yang rosak namun ia tetap dirosakkan dengan mudah oleh sindiket itu,” katanya.

Sementara itu, Rosman berkata pemantauan dan operasi berterusan dilaksanakan PGA menerusi Op Benteng bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh pendatang tanpa izin terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Katanya kerajaan juga boleh mengambil inisiatif membina pagar baharu di sempadan negara dalam usaha memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin. – BERNAMA

- Advertisement -