MP perlu guna bahasa Melayu dengan betul

- Advertisement -



KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan wajib digunakan dalam mana-mana acara rasmi termasuk persidangan di Parlimen, kata Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani.

Menurutnya, ahli-ahli parlimen seharusnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menuturkannya secara baik dan betul tanpa mencampur aduk dengan bahasa asing, lebih-lebih lagi di dalam Parlimen.

- Advertisement -

Beliau menambah, jika mereka ingin menggunakan bahasa asing di dalam Parlimen, mereka hendaklah mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada Yang Dipertua Dewan bukan sekadar meminta izin sahaj

“Jika tidak dibenarkan, maka ahli parlimen itu tidak boleh berucap walau sepatah pun dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi jika asyik sekejap-sekejap ahli Dewan memohon izin untuk menggunakan bahasa Inggeris, apakah maknanya?

“Boleh jadi ahli dewan tersebut tidak fasih berbahasa Melayu atau fikirannya berserabut kerana bercampur-baur atau lebih gemar berbahasa Inggeris.

“Atau yang paling teruk tidak suka berbahasa Melayu walaupun itu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Ujarnya, Yang Dipertua (YDP) dan timbalannya juga seharusnya memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu di dalam sidang Parlimen dengan memberikan respons ketika ahli Dewan meneruskan perbahasan dengan berbahasa Inggeris meskipun izin telah diminta.

“YDP Dewan dan Timbalannya sepatutnya mengingatkan semua ahli Dewan agar menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan di samping berusaha menjadi contoh yang terbaik dalam kalangan ahli dewan.

“YDP Dewan sepatutnya menghentikan ucapan itu dengan bertanya ‘bila masa saya telah memberikan keizinan?’ “

Kamal Shukri berkata, inilah peranan besar yang boleh dimainkan oleh YDP Dewan dan timbalannya untuk mempertahankan perlembagaan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

Malahan, sidang Parlimen yang berlangsung selama hampir dua minggu tersebut menjadi tontonan rakyat secara langsung di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/7/2020

- Advertisement -