KoPPIM sasar sejuta ahli

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM) menyasarkan sejuta keahlian menjelang akhir tahun ini bagi menyokong ekonomi usahawan Islam dan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa depan.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif KoPPIM Mohd Fadzil Hashim berkata setakat ini, keahlian KoPPIM berjumlah kira-kira 24,000 orang dalam tempoh kurang enam bulan inisiatif itu diperkenal dan kempen secara besar-besaran sedang dilaksana bagi menarik lebih ramai penyertaan.

“Sasaran utama KoPPIM ialah untuk menyatukan sejuta ahli yang mencarum secara konsisten sebanyak RM100 sebulan bagi membolehkan KoPPIM mempunyai dana yang akan dilaburkan untuk memperkasa ekonomi umat Islam melalui pelaburan strategik.

“Ahli KoPPIM dijangka menerima pendapatan minimum RM5,000 sebulan manakala dividen antara lapan hingga 15 peratus, dan ia bukan sesuatu yang kita janjikan tetapi berdasarkan pengiraan yang telah dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ayuh Bangkit Masjid Tanah di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Shamsudin.
 
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Malakat Mall berkata antara pelaburan yang dilakukan ialah pembukaan 100 pusat beli-belah Malakat Mall secara berperingkat di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata sebanyak 100,000 usahawan bumiputera juga dijangka terlibat dalam pengoperasian pusat beli-belah itu dalam tempoh tersebut dan cawangan kedua Malakat Mall di Masjid Tanah akan dibuka pada November depan selepas Cyberjaya pada Mac lepas.

“Kita juga mendapat tawaran membuka cawangan Malakat Mall di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Johor dan ia akan dipertimbang dan diteliti secara berperingkat.

“Keutamaan akan diberi kepada jenama produk atau makanan tempatan yang diusahakan usahawan bumiputera,” katanya.

Malakat Mall merupakan pusat beli-belah yang menghimpunkan 100 peratus usahawan Muslim untuk berniaga di bawah satu bumbung sekali gus memberi peluang kepada pengguna Muslim menyatukan kuasa pembelian mereka secara berpusat.

Model perniagaan Malakat Mall mengguna pakai konsep pemilikan bersama melibatkan usahawan, koperasi dan komuniti yang akan memberi manfaat secara bersama. – BERNAMA

- Advertisement -