Ikrar pertahankan kemenangan ‘5-0’

MAT PAS Kuala Terengganu Kali Ke-45

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Terengganu berikrar akan mempertahankan kemenangan kerusi ‘5-0’ yang dimilikinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

- Advertisement -

Naib Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, ahli dan jentera parti PAS perlu meletakkan penanda arasnya, PRU ke-15 akan berlaku tahun ini.

Oleh itu, katanya gerak kerja persiapan pilihan raya parti juga perlu disusun bagi mempersiapkan diri berdepan dengan pilihan raya tersebut.

“Dalam keadaan ini, kita (PAS) Kawasan Kuala Terengganu akan mempertahankan 100 peratus apa yang telah kita menang sebelum ini.

“Satu kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) semua sekali akan kita (PAS) pertahankan menjadi kerusi milik PAS.

“Insya’Allah, kita akan berusaha bersungguh-sungguh,” ujarnya Ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-45, di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu yakin, pada PRU15 akan datang PAS akan memenangi lebih banyak bilangan kerusi di peringkat Parlimen.

“Kita yakin dalam PRU ke-15 akan datang, dengan kekuatan kita semua yang bersungguh-sungguh dan masing-masing memainkan peranan.

“Jangan merasa sedap duduk, konon-konon kita telah jadi kerajaan, rasa sudah selesa. Sebaliknya, teruskan bekerja dan mempertingkatkan usaha.

“Insya’Allah, dalam PRU akan datang kita (PAS) akan tunjuk bahawa sesungguhnya, kita selayaknya untuk menjadi pemimpin kepada negara kita Malaysia.

“Insya’Allah, PAS akan memenangi bilangan kerusi di peringkat Parlimen yang paling banyak di dalam sejarah negara ini,” jelasnya disambut laungan takbir hampir 200 perwakilan.

Sementara itu, katanya peringkat pimpinan Umno memberi komitmen yang bersungguh bagi menjayakan Muafakat Nasional (MN) menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Menurut Amzad, cara terbaik mengukuhkan kerajaan dan mengembalikan semula keyakinan pelabur adalah melalui mandat dari rakyat.

“Sebab, mereka (pembangkang) merasa kuat di Parlimen. Mereka (PH) rasa seolah-olah perbezaan kerusi (kerajaan) yang sedikit ini (menjadi) satu tekanan.

“Satu cara yang perlu kita ambil ialah kembali kepada pilihan raya, mendapat mandat (rakyat) yang kuat, supaya kita dapat ‘bisukan’ mulut-mulut mereka,” tegasnya.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Terengganu itu dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam; Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar; Adun Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Adun Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

Selain itu, yang hadir Timbalan YDP Kuala Terengganu, Ustaz Hamzah Ngah; Ketua Urusan Ulamaknya, Ustaz Alias Abu Bakar; Ketua Pemuda PAS, Ahmad Asyraf Annawawi Mohd dan Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu, Ustazah Shamsiah Abu Bakar.- HARAKAHDAILY 25/7/2020

- Advertisement -