Dua beradik dalang sindiket keldai akaun

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis menahan dua beradik dipercayai dalang utama sindiket keldai akaun yang menggunakan akaun bank orang lain bagi tujuan penipuan sehingga mengakibatkan mangsa-mangsa kerugian lebih RM800,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Gelugor, di sini Rabu lepas.

- Advertisement -

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang ACP Mohd Rosni Mohd Lazim berkata dua lelaki berumur 20 dan 26 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 10 malam selepas pihaknya menerima maklumat daripada pemilik akaun terdapat sejumlah besar transaksi dalam akaunnya.

“Pemilik akaun itu seorang lelaki berusia 20-an baru pulang dari New Zealand selepas bekerja kilang di sana sejak tahun lepas mendapati terdapat sejumlah transaksi dalam akaunnya membabitkan RM800,000 dan dia yang curiga serta takut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Berdasarkan maklumat daripada lelaki itu, dia pernah membuka empat akaun bank sebelum ke luar negara serta mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menyerahkan semua kad serta dokumen berkenaan kepada dua lelaki tersebut yang dikenali menerusi rakannya.

“Suspek kononnya memaklumkan ia (kad bank dan dokumen) adalah untuk disewakan serta dijanjikan RM500 setiap bulan, namun lelaki itu mula curiga kerana terdapat transaksi yang banyak dalam akaunnya malah gagal menghubungi dua beradik itu untuk penjelasan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
 
Mohd Rosni berkata ekoran penahanan dua beradik itu, polis merampas sembilan kad debit pelbagai bank, 14 buku cek, 10 cop syarikat, 13 dokumen pendaftaran syarikat yang berdaftar dengan SSM dan dua  telefon bimbit ketika serbuan di rumah tersebut.

Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati dua beradik itu dipercayai dalang utama sindiket keldai akaun di Pulau Pinang, bagaimanapun sindiket tersebut mempunyai rangkaian di beberapa negeri lain termasuk ketua mereka yang beroperasi di Kuala Lumpur.

“Modus operandi mereka ialah menawarkan sejumlah wang kepada mana-mana individu tempatan untuk menyewakan kad bank bagi tujuan transaksi pemindahan wang. Siasatan mendapati sindiket itu menggunakan keldai akaun tersebut bagi tujuan penipuan kes pinjaman tidak wujud, pembelian dalam talian dan judi online. 

“Mereka juga menggunakan ‘floating cheque’ untuk mengaburi mangsa bagi menyakinkan wang pinjaman telah dikeluarkan sehingga mendorong mangsa membuat pelbagai bayaran pendahuluan contohnya pemprosesan pinjaman manakala dokumen SSM digunakan bagi menyakinkan tentang kewujudan syarikat yang menawarkan pinjaman dan bukan orang perseorangan,” katanya.

Menurutnya, polis juga telah mengenal pasti dua lagi pemilik akaun yang digunakan sindiket tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan berapa ramai yang pernah menjadi mangsa keldai akaun serta kes penipuan suspek.

Katanya, dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membenarkan akaun perbankan peribadi mereka digunakan untuk kegiatan penipuan jenayah komersial bagi memperoleh wang dengan cara mudah kerana dianggap bersubahat malah mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -